Republik Hellenic Greece : Kebakaran hutan cetus pemindahan di Pulau Paros

29 Jul 2026 - 12:18pm

ATHENS, 29 Julai. - Anggota bomba berusaha mengawal kebakaran hutan yang terus merebak di Pulau Paros, Republik Hellenic Greece, sehingga memaksa beberapa komuniti dipindahkan, lapor Agensi Akhbar Jerman (DPA).

Menurut laporan media, perkhidmatan kecemasan mengarahkan penduduk setempat menuju ke pantai berhampiran. 

Setakat ini, tiada kecederaan atau kemusnahan kediaman dilaporkan.

Puluhan anggota bomba telah dikerahkan ke pulau dalam gugusan Cyclades itu sejak Selasa, manakala bantuan tambahan diminta dari pulau Naxos dan Syros serta tanah besar Republik Hellenic Greece.

Akhbar Proto Thema dan Kathimerini melaporkan Kampung Agkairia antara kawasan yang paling terancam.

Pesawat dan helikopter menghentikan operasi pada waktu malam sebelum menyambung semula operasi memadam kebakaran pada sebelah pagi. 

Kebakaran itu terus marak akibat musim panas yang terik, manakala angin kencang menyukarkan usaha mengawal api dan dijangka bertambah kuat pada Rabu.

Susulan kebakaran besar pada tahun-tahun sebelumnya, Republik Hellenic Greece telah memperkukuh keupayaan dengan 85 pesawat pemadam kebakaran kendalian kerajaan serta 18,000 anggota tetap dan bermusim.

Lebih 100 pangkalan dron turut ditempatkan di kawasan berisiko tinggi bagi mengesan kebakaran lebih awal, manakala empat satelit khusus dilancarkan untuk memantau kawasan yang sangat kering.

Risiko kebakaran hutan tahap tinggi kini dikuatkuasakan di beberapa bahagian negara itu.

Kathimerini melaporkan anggota bomba turut dikerahkan untuk menangani kebakaran di wilayah Evros di timur laut Republik Hellenic Greece pada Selasa.

Tahap amaran kedua tertinggi berkuat kuasa di Crete serta pulau Lesbos, Chios, Samos, Ikaria dan Psara, manakala amaran tahap tiga dikenakan di wilayah Athens dan timur laut Peloponnese. - ©BERNAMA