Presiden baharu, AS umum pakej keselamatan USD1 bilion untuk Colombia

8 Og 2026 - 8:03am

WASHINGTON, 8 Ogos. -  Pentadbiran Trump mengumumkan pada Jumaat, Amerika Syarikat (AS) merancang untuk memberikan bantuan AS$1 bilion kepada Colombia sebagai sebahagian daripada pakej keselamatan baharu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Langkah itu  bertujuan mengukuhkan kerjasama dengan kerajaan Presiden Abelardo de la Espriella yang baharu dilantik.

Delegasi presiden AS diketuai  Pemangku Peguam Negara Todd Blanche mewakili Washington pada majlis angkat sumpah De la Espriella pada 7 Ogos, yang menurut Jabatan Negara menunjukkan komitmen pentadbiran untuk 'mengeratkan semula' hubungan AS-Colombia dan memperdalam kerjasama keselamatan serta  ekonomi kedua-dua negara.

"Sebagai asas perkongsian yang diperbaharui ini, AS, bekerjasama dengan Kongres, berhasrat untuk mengumumkan bantuan $1 bilion sebagai sebahagian daripada pakej keselamatan bagi  menyokong Pentadbiran Presiden De la  Espriella dalam mencapai matlamat bersama kami," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut agensi itu,  ia akan bekerjasama dengan Colombia untuk mengukuhkan pasukan keselamatannya melalui teknologi AS, meningkatkan kecekapan perbelanjaan pertahanan, saling kendali ketenteraan yang lebih baik dan menyelaraskan operasi dengan pasukan AS.

"Membina persahabatan selama lebih 200 tahun, Pentadbiran Trump berharap dapat bekerjasama rapat dengan pentadbiran baharu bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran bagi AS, Colombia dan hemisfera kita," katanya.

De la Espriella mengangkat sumpah sebagai presiden Colombia pada Jumaat di Cali dan bukannya di ibu negara, Bogota, melanggar tradisi dalam langkah yang bertujuan untuk menekankan pendiriannya terhadap kumpulan bersenjata di rantau itu.

Beliau berikrar untuk mengambil pendekatan lebih tegas terhadap pengedaran dadah sambil melaksanakan langkah penjimatan bagi  mengukuhkan ekonomi dan memulihkan keyakinan pelabur. - ©BERNAMA