LOS ANGELES, 5 Ogos. - Kebakaran Eaton yang mengorbankan 19 orang serta memusnahkan ribuan kediaman dan premis perniagaan di Altadena, California pada Januari 2025 berpunca daripada arka elektrik pada peralatan Southern California Edison (SCE) yang tidak beroperasi, menurut pihak berkuasa pada Selasa, lapor Xinhua.
"Selepas 18 bulan meneliti secara menyeluruh semua bukti dengan bantuan pakar elektrik dan metalurgi yang dilantik, siasatan menyimpulkan bahawa kebakaran hutan berskala besar itu berpunca daripada kejadian arka elektrik pada menara Southern California Edison yang tidak beroperasi," menurut pegawai bomba dalam kenyataan media.
Laporan yang dikeluarkan Jabatan Bomba Daerah Los Angeles menyatakan bahawa bukti video yang dikumpulkan Pasukan Siasatan Kebakaran Eaton menunjukkan dua kejadian arka elektrik berlaku berturut-turut dalam tempoh singkat.
Kejadian itu menyebabkan bahan terbakar yang tidak dikenal pasti jatuh dari kawasan menara SCE ke lapisan bahan mudah terbakar yang kering di bawahnya.
"Saya sedar bahawa tiada laporan atau siasatan mengenai Kebakaran Eaton mampu meredakan kesedihan dan penderitaan yang ditanggung penduduk kami.
"Walaupun puncanya telah dikenal pasti, tumpuan kami kekal untuk membantu penduduk membina semula kediaman dan kehidupan mereka, selain memastikan pengajaran daripada kejadian ini membawa perubahan bermakna dan sebagai mengenang 19 nyawa yang terkorban," kata Ketua Bomba Anthony C. Marrone dalam satu kenyataan.
SCE, syarikat utiliti utama di California Selatan, kini berdepan tekanan undang-undang yang semakin meningkat berhubung dakwaan bahawa kecuaiannya mencetuskan Kebakaran Eaton yang membawa maut itu.
Syarikat berkenaan dilaporkan dinamakan dalam ratusan saman yang difailkan pemilik rumah, syarikat, firma insurans dan entiti kerajaan bagi menuntut pampasan atas kerugian akibat kebakaran hutan berkenaan. - ©BERNAMA