SEPANG, 2 Ogos. - Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menyifatkan kejayaan besar merangkul lima pingat emas di Sukan Komanwel Glasgow 2026 sebagai ‘isyarat jelas’ untuk pihak pengurusan sukan negara mempertimbangkan peruntukan tahunan sekurang-kurangnya RM1 juta bagi memperkasakan sukan itu.
Presiden PABM Datuk Ayub Rahmat berkata peruntukan itu wajar diberikan sebagai pengiktirafan dan pemacu semangat buat skuad angkat berat yang kini terbukti menjadi lubuk emas baharu Malaysia selepas mempamerkan prestasi luar biasa di pentas antarabangsa.
“Kita (PABM) antara persekutuan minimum dari segi bajet sebab banyak pakai duit sendiri,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam tadi.
Beliau berkata para atlet berdepan kekangan kewangan terutama dari aspek pemakanan harian di pusat latihan yang terlalu rendah bagi atlet sukan fizikal seperti angkat berat.
Bagaimanapun, Ayub menzahirkan keyakinan Majlis Sukan Negara dan Majlis Olimpik Malaysia akan memberikan sokongan sewajarnya kepada persatuan itu berdasarkan komitmen ditunjukkan sebelum ini.
Menyentuh mengenai taktikal di Glasgow, Ayub berkata pihaknya lebih mengutamakan kutipan pingat emas berbanding memburu rekod kebangsaan bagi memastikan setiap strategi dirancang membuahkan hasil untuk negara.
“Kalau kita salah strategi, kita letakkan sasaran untuk lebih (rekod), kita bimbang kita tidak boleh angkat (berat tersebut)," katanya.
Beliau menyifatkan barisan atlet kali ini sebagai ‘pasukan gila’ kerana berjaya membuktikan keupayaan luar biasa dengan merealisasikan sasaran lima emas yang sebelum ini dianggap mencabar oleh pelbagai pihak.
Sepanjang saingan angkat berat di Sukan Komanwel 2026 yang berlangsung dari 26 Julai hingga hari ini, skuad negara meraih lima pingat emas, satu perak dan satu gangsa, sekali gus muncul juara keseluruhan acara angkat berat Glasgow 2026.
Lima emas disumbangkan Mohamad Aniq Kasdan dalam Kategori 60 kilogram (kg) lelaki, Muhamad Aznil Bidin (65kg), Muhammad Erry Hidayat (79kg), Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg) dan Muhamad Syahmi Nor Ghazali (94kg). - ©BERNAMA