NSW Australia lancar program beli balik senjata api susulan serangan di Pantai Bondi

26 Og 2026 - 10:21am

SYDNEY, 16 Ogos. - Negeri New South Wales (NSW) di Australia akan melancarkan program beli balik senjata api sebagai sebahagian daripada kawalan ketat senjata api yang diperkenalkan susulan serangan maut di Pantai Bondi tahun lepas, lapor Xinhua memetik media tempatan pada Sabtu.

Program yang dijadualkan bermula pada 2 November itu menjadikan NSW sebagai negeri pertama di Australia yang melaksanakan program beli balik berkenaan susulan serangan itu, menurut Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).

Kira-kira 274,000 senjata api dan 50,000 pemegang lesen dianggarkan terkesan akibat sekatan baharu senjata api di negeri berkenaan, lapor ABC.

Di bawah program itu, sebahagian besar senjata api yang diserahkan akan menerima pampasan tetap antara A$450 hingga A$1,000 (kira-kira USD319 hingga USD708), manakala senjata api bernilai lebih tinggi layak menerima sehingga A$10,000 (kira-kira USD7,080) setiap satu bermula awal tahun depan.

Premier NSW Chris Minns berkata pengurangan jumlah senjata api berbahaya dalam kalangan masyarakat akan menjadikan wilayah itu lebih selamat.

NSW mengetatkan undang-undang senjata apinya susulan serangan di Pantai Bondi, dengan memperkenalkan had ke atas jumlah senjata api yang boleh dimiliki oleh sebahagian besar pemegang lesen serta kawalan yang lebih ketat ke atas jenis senjata api tertentu.

Kerajaan Persekutuan turut mencadangkan program beli balik senjata api di peringkat kebangsaan, bagaimanapun kebanyakan negeri lain menentang atau belum memberi komitmen terhadap program berkenaan. - ©BERNAMA