Mancini kembali bimbing Republik Itali buat kali kedua

29 Jul 2026 - 12:19pm

ROME, 29 Julai. - Roberto Mancini kembali dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Republik Itali bagi penggal kedua selepas pengumuman dibuat oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), Giovanni Malago, pada Selasa.

Jurulatih berusia 61 tahun itu menggantikan Gennaro Gattuso yang meletakkan jawatan awal tahun ini selepas Republik Itali sekali lagi gagal melayakkan diri ke Piala Dunia FIFA 2026, sekali gus menyaksikan Azzurri terlepas beraksi dalam kejohanan berprestij itu buat edisi ketiga berturut-turut.

Mancini sebelum ini membimbing Republik Itali dari tahun 2018 hingga 2023 dan berjaya menghadiahkan kejuaraan UEFA Euro 2020 sebelum melepaskan jawatan untuk mengendalikan pasukan kebangsaan Arab Saudi.

Dalam masa yang sama, Malago turut mengumumkan bekas jurulatih AS Roma, Claudio Ranieri, sebagai Pengarah Teknikal baharu FIGC.

Perubahan besar dalam badan induk bola sepak Republik Itali itu menyusuli kekalahan 2 - 1 kepada Bosnia dan Herzegovina dalam aksi ‘playoff’ Piala Dunia pada Mac lalu, yang membawa kepada peletakan jawatan bekas Presiden FIGC, Gabriele Gravina, serta Gattuso.

Usaha mencari ketua jurulatih baharu menjadi lebih mencabar selepas Malago dipilih sebagai Presiden FIGC pada Jun. Beliau melantik bekas kapten AC Milan, Paolo Maldini, sebagai Pengarah Teknikal dan bekas pemain antarabangsa Brazil, Leonardo, sebagai penasihat bagi mengetuai proses pemilihan jurulatih.

Media Republik Itali sebelum ini mengaitkan Antonio Conte, Pep Guardiola, Carlo Ancelotti dan Roberto Mancini sebagai calon utama, manakala Andrea Pirlo dilaporkan hampir dilantik sebelum namanya digugurkan susulan kontroversi berkaitan hubungannya dengan sebuah syarikat pertaruhan dari Persekutuan Rusia. Maldini dan Leonardo kemudian turut meletakkan jawatan selepas hanya 16 hari memegang jawatan masing-masing.

Mancini dijadual memulakan tugasan kompetitif pertamanya dalam penggal kedua bersama Republik Itali pada saingan Liga Negara-Negara UEFA September ini, apabila Azzurri diundi dalam kumpulan yang turut dibarisi Republik Perancis, Belgium dan Republik Türkiye. - ©XINHUA