HELSINKI, 24 Ogos. - Lebih 50,000 orang berarak di tengah Stockholm, ibu negara Sweden, pada Ahad bagi menuntut tindakan lebih tegas menangani perubahan iklim, menurut pihak penganjur.
Perhimpunan itu berlangsung kira-kira tiga minggu sebelum Sweden mengadakan pilihan raya kebangsaan.
Menurut laporan media Sweden, kira-kira 280 pertubuhan mengambil bahagian dalam demonstrasi berkenaan, termasuk kumpulan alam sekitar dan hak asasi manusia, kesatuan sekerja, pertubuhan keagamaan, penyelidik serta kumpulan kebudayaan.
Pengerusi Swedish Society for Nature Conservation, Beatrice Rindevall, yang juga antara penganjur utama, berkata kepada media Sweden bahawa pembuat dasar perlu memandang serius krisis iklim.
Demonstrasi itu berlangsung ketika isu perubahan iklim semakin mendapat perhatian pengundi menjelang pilihan raya kebangsaan bulan depan, dengan pendirian terhadap isu berkenaan semakin terbahagi mengikut garis politik.
Menurut tinjauan nasional terbaharu oleh SOM Institute, sebuah organisasi penyelidikan bebas di University of Gothenburg, kira-kira 65 peratus responden yang mengidentifikasikan diri dengan golongan kiri berkata mereka amat bimbang terhadap perubahan iklim, berbanding kurang 30 peratus dalam kalangan golongan kanan.
Sementara itu, tinjauan berasingan oleh firma pengundian Sweden, Novus, pada Jun lalu meletakkan perubahan iklim sebagai isu politik keenam terpenting dalam kalangan pengundi, meningkat daripada tempat kesembilan pada Januari.
Profesor Sosiologi di University of Gothenburg, Martin Hultman, berkata kepada akhbar Sweden, Dagens Nyheter, bahawa Sweden mungkin sedang menyaksikan gelombang baharu kesedaran dan penglibatan berkaitan isu iklim.
Menurutnya, gelombang terdahulu kehilangan momentum ketika pandemik COVID-19 susulan lobi industri bahan api fosil, penyebaran maklumat palsu serta peningkatan sokongan terhadap gerakan nasionalis berhaluan kanan dalam pilihan raya.
Beliau berkata, peningkatan semula penglibatan terhadap isu iklim itu mungkin sebahagiannya berpunca daripada orang ramai yang semakin merasai kesan perubahan iklim dalam kehidupan seharian mereka.
Sweden dijadualkan mengadakan pilihan raya bagi memilih anggota Riksdag, iaitu Parlimen negara berkenaan, selain pilihan raya bagi majlis wilayah dan perbandaran pada 13 September. - ©XINHUA