Lebih 5 juta orang terjejas akibat cuaca buruk di Republik Filipina

17 Og 2026 - 10:33am

MANILA, 17 Ogos. - Jumlah penduduk yang terjejas akibat gabungan kesan Taufan Tropika Luis dan Maymay serta monsun barat daya yang sedang melanda Republik Filipina meningkat kepada kira-kira 5.08 juta orang di 10 wilayah, lapor Agensi Berita Filipina  (PNA).

Pegawai penerangan Pejabat Pertahanan Awam (OCD)  Diego Mariano berkata individu yang terjejas itu membabitkan kira-kira 1.45 juta keluarga dari Wilayah Ilocos, Lembah Cagayan, Luzon Tengah, Wilayah Bicol, Visayas Barat, Semenanjung Zamboanga, Calabarzon, Wilayah Pentadbiran Cordillera, Wilayah Ibu Negara (NCR) dan Mimaropa.

Beliau berkata kira-kira 523 pusat pemindahan kini menempatkan kira-kira  7,182 keluarga atau 24,893 orang  manakala bantuan yang disalurkan setakat ini berjumlah kira-kira PHP734.1 juta (RM48.6 juta).

Jumlah kematian yang sedang disahkan  ialah 23 kematian, terdiri daripada 15 di Benguet, masing-masing tiga di Rizal dan Batangas selain masing-masing satu di La Union dan Quezon.

Sementara itu, 17 orang cedera  manakala seorang dilaporkan hilang.

Sebanyak 182 rumah musnah sepenuhnya  manakala 1,681 lagi rosak  sebahagiannya. - ©BERNAMA