Laluan pejalan kaki Air Terjun Iguazu ditutup

12 Okt 2026 - 11:32am

SAO PAULO, 12 Okt. - Laluan pejalan kaki di Air Terjun Iguazu, destinasi pelancongan utama di sempadan Brazil dan Argentina, ditutup pada Ahad sebagai langkah berjaga-jaga berikutan hujan lebat menyebabkan paras air Sungai Iguazu meningkat, lapor Xinhua yang memetik pihak berkuasa tempatan.

Laluan itu ditutup apabila kadar aliran air mencecah 8.8 juta liter sesaat, bagi memastikan keselamatan pengunjung.

Bagaimanapun, Taman Negara Iguazu masih dibuka kepada orang ramai.

Syarikat konsesi yang mengendalikan operasi pelancongan, Urbia+Cataratas, serta Institut Chico Mendes bagi Pemuliharaan Biodiversiti yang menguruskan taman negara itu terus memantau keadaan sungai.

Penutupan itu menyusuli beberapa gangguan sama pada awal tahun ini akibat hujan lebat di negeri Parana, selatan Brazil.

Pada September, laluan pejalan kaki di bahagian Brazil ditutup selama empat hari selepas kadar aliran air melebihi 10 juta liter sesaat.

Laluan itu turut ditutup pada Julai apabila kadar aliran air melepasi sembilan juta liter sesaat.

Air Terjun Iguazu terdiri daripada kira-kira 275 air terjun yang dikelilingi hutan hujan subtropika.

Menurut Kementerian Pelancongan Brazil, Taman Negara Iguazu menerima lebih dua juta pengunjung pada 2025. - ©BERNAMA