Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 14 Oktober. - Brunei Shell Marketing Company Sendirian Berhad (BSM) dan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) menjalin kerjasama bagi memperluas kemudahan pembayaran tanpa tunai di Stesen Minyak Shell, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan pembayaran serta kemudahan kepada para pengguna jalan raya ketika membeli bahan api.
Justeru, Majlis Menandatangani Kerjasama berkenaan berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan, di ibu negara, hari ini.
Setiausaha Tetap (Penyelaras Dasar-Dasar Ekonomi) di Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI), Datin Dayang Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim yang juga selaku Pengarah Urusan Perbadanan TAIB hadir bagi mewakili TAIB, manakala BSM diwakili oleh Pengarah Urusannya, Mohammed Alexirwan bin Haji Omar.
Kerjasama berkenaan bertujuan menggalakkan pengusaha Stesen Minyak Shell menawarkan kemudahan pembayaran tanpa tunai menggunakan tarusQR.
Walau bagaimanapun, pelaksanaannya bergantung pada kesediaan setiap pengusaha Stesen Minyak Shell untuk menyertai inisiatif berkenaan serta melengkapkan urusan pendaftaran sebagai peniaga dengan TAIB.
Melalui kemudahan itu, pelanggan di Stesen Minyak Shell yang mengambil bahagian boleh membuat pembayaran bagi pembelian bahan api, termasuk Shell V-Power, Shell V-Power Diesel, Shell Premium, Shell Diesel dan Shell Regular, menerusi aplikasi perbankan atau dompet digital yang menyokong pembayaran berkenaan.
Inisiatif itu membolehkan pelanggan mengisi minyak dengan lebih mudah tanpa perlu mengeluarkan wang tunai terlebih dahulu, di samping menyokong penggunaan kaedah pembayaran digital dalam urusan harian.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh para pemilik Stesen Minyak Shell serta wakil-wakil organisasi yang dijemput. Pada masa ini, kemudahan pembayaran digital melalui tarusQR sudah tersedia di Stesen Shell TAIB Beribi dan TAIB Delima.
Sehubungan itu, pelanggan dinasihatkan untuk memastikan kaedah pembayaran yang diterima di Stesen Minyak Shell berkenaan sebelum mengisi minyak, memandangkan pelaksanaan kemudahan tersebut akan diperluas secara berperingkat mengikut kesediaan pengusaha stesen.
Maklumat terkini mengenai Stesen Minyak Shell yang menawarkan kemudahan pembayaran tanpa tunai boleh diperoleh melalui akaun Instagram ‘@bruneishellmarketing’ atau laman sesawang ‘www.bsm.com.bn’.