Izzat Shameer cipta sejarah, tunaikan impian Fairul Izwan

29 Jul 2026 - 12:16pm

GLASGOW, 29 Julai. - Impian ketua jurulatih boling padang kebangsaan Fairul Izwan Abdul Muin untuk menaiki podium acara ‘singles’ lelaki pada Sukan Komanwel ketika bergelar pemain mungkin tidak kesampaian.

Namun, impian itu akhirnya menjadi kenyataan menerusi kejayaan anak buahnya, Izzat Shameer Dzulkeple, yang menghadiahkan pingat perak pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 di sini, sekali gus muncul pemain pertama Malaysia memenangi pingat dalam acara itu pada temasya berkenaan.

Pencapaian itu amat bermakna buat Fairul Izwan yang pernah mewakili negara dalam acara ‘singles’ lelaki, termasuk pada edisi Birmingham 2022, namun sekadar menamatkan saingan di tempat keempat.

"Saya pernah katakan perkara ini selepas selesai bermain di Sukan Komanwel 2022 bersama Izzat. Saya tidak sangka apa yang saya sampaikan kepadanya ketika itu akhirnya menjadi kenyataan di sini.

“Saya kata, ‘Izzat, di Malaysia, Izzat selalu kalahkan Abang Boy. Kalau Izzat tengok Abang Boy bermain di Birmingham, dengan cara begini Izzat boleh pergi lebih jauh daripada Abang Boy’,” kata Fairul Izwan, yang meraih pingat perak acara ‘pairs’ lelaki pada edisi Glasgow 2014, kepada Bernama di sini.

Fairul Izwan berkata keyakinannya terhadap Izzat Shameer bukan hadir secara kebetulan, sebaliknya berasaskan kemampuan pemain itu yang diyakininya mampu melangkah lebih jauh dalam acara ‘singles’.

Beliau berkata sebaik sahaja Izzat Shameer dipilih menyertai skuad ke Glasgow, beliau meletakkan harapan tinggi agar pemain itu mampu menamatkan penantian Malaysia untuk menghadiahkan pingat dalam acara berkenaan.

“Alhamdulillah, dia terpilih untuk edisi kali ini dan saya meletakkan harapan kepadanya. Apabila presiden (Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia) bertanya, saya katakan insya-Allah kita akan meraih sesuatu dalam acara ‘singles’. Alhamdulillah, harapan itu diterjemahkan dengan pingat perak,” katanya.

Beliau berkata Izzat Shameer mempamerkan aksi cemerlang dengan penuh keyakinan dan ketenangan sejak peringkat kumpulan hingga separuh akhir, namun tekanan aksi final sedikit menjejaskan rentaknya terutama pada set pertama.

Walaupun sekadar membawa pulang pingat perak, Fairul Izwan percaya kejayaan bersejarah itu membuktikan Izzat Shameer mampu menjadi tonggak utama skuad lelaki negara pada kejohanan akan datang.

“Orang mungkin tidak akan mengingati pingat perak kerana mereka sentiasa mengingati pingat emas, tetapi saya percaya mereka sudah melakukan yang terbaik, terutama Izzat. Untuk kejohanan seterusnya, saya melihat Izzat mampu memikul tanggungjawab sekali lagi,” katanya.

Pada perlawanan penentuan pingat emas di Scottish Event Campus (SEC) semalam, Izzat Shameer terpaksa akur tewas 0-2 kepada pemain berpengalaman England, Sam Tolchard, namun tetap melakar sejarah baharu buat skuad boling padang negara.

Selain memenangi pingat perak acara ‘pairs’ lelaki pada Glasgow 2014, Fairul Izwan turut meraih pingat gangsa dalam acara sama pada edisi Delhi 2010.

Sementara itu, Izzat Shameer berkata pingat perak itu melengkapkan misinya untuk menaiki podium pada penampilan kedua di Sukan Komanwel, meskipun sasaran utamanya adalah meraih pingat emas.

“Alhamdulillah, ini Sukan Komanwel kedua saya dan misi untuk mendapatkan pingat akhirnya tercapai. Walaupun saya memang mahukan pingat emas, saya tetap bersyukur dengan pingat perak,” katanya.

Izzat Shameer mendedikasikan pingat bersejarah itu kepada Malaysia serta keluarga, khususnya isteri dan anaknya. - ©BERNAMA