Fosil serangga berusia 324 juta tahun dedahkan hubungan evolusi air dan darat

27 Og 2026 - 8:39am

NANJING, Khamis, 27 Ogos. - Sekumpulan penyelidik antarabangsa yang diketuai oleh saintis Republik Rakyat China menemui spesies serangga purba yang dianggarkan berusia kira-kira 324 juta tahun, yang mempunyai ciri-ciri kehidupan akuatik dan daratan.

Penemuan tersebut memberikan bukti langsung mengenai proses beransur-ansur serangga beralih daripada kehidupan di air kepada kehidupan di darat.

Fosil berkenaan, yang dinamakan Chosha praecursor, ditemukan dalam lapisan batuan zaman Karboniferus di negeri Texas, Amerika Syarikat.

Kajian itu dikendalikan oleh para saintis dari Nanjing Institute of Geology and Palaeontology, Chinese Academy of Sciences, dengan kerjasama penyelidik dari United Kingdom, Amerika Syarikat dan Sepanyol.

Walaupun serangga tersebut sudah mempunyai tiga pasang kaki untuk berjalan seperti serangga moden, bahagian abdomennya masih mempunyai cuping berbentuk pendayung yang sesuai digunakan untuk berenang.

Penemuan itu diterbitkan secara dalam talian pada Rabu dalam jurnal Nature.

Menurut penyelidik institut berkenaan yang mengetuai kajian, Cai Chenyang, bahagian tambahan pada abdomen serangga moden kebanyakannya telah mengecil atau hilang, dengan hanya tiga pasang kaki pada bahagian toraks yang kekal.

Jelasnya, Chosha praecursor memberikan gambaran mengenai proses peralihan tersebut apabila struktur tambahan pada abdomen yang diwarisi daripada nenek moyang akuatik belum hilang sepenuhnya, sebaliknya mula diubah suai dan dipermudah selaras dengan penyesuaian serangga terhadap kehidupan di darat.

“Penemuan ini menjadi penghubung evolusi antara bentuk kehidupan akuatik dan daratan,” kata Cai.

Beliau menjelaskan, kira-kira 320 juta tahun lalu, serangga purba yang hidup di kawasan peralihan antara air dan darat secara beransur-ansur mengembangkan struktur tubuh baharu yang sesuai untuk bernafas dan bergerak di daratan.

Fosil tersebut dikenal pasti sebagai serangga betina dewasa, berukuran kira-kira 3.2 sentimeter panjang, manakala panjang keseluruhannya mencecah hampir lima sentimeter termasuk struktur ekornya yang memanjang. Bentuk tubuhnya pula menyerupai gelendong.

Bahagian toraks mempunyai tiga pasang kaki untuk berjalan, manakala ovipositor dan ekornya sudah menunjukkan ciri-ciri tipikal serangga.

Bagaimanapun, segmen pertama hingga kesembilan pada abdomen masih mempunyai struktur tambahan bersegmen, dengan pasangan struktur di bahagian belakang menjadi leper dan berbentuk seperti pendayung.

Berdasarkan lokasi penemuan fosil tersebut dalam mendapan delta air cetek berhampiran pantai, para penyelidik menyimpulkan bahawa Chosha praecursor hidup di kawasan lembap yang menjadi zon peralihan antara daratan dan air, sekali gus mengekalkan ciri-ciri separa akuatik yang jelas.

Penemuan berkenaan memberikan gambaran penting mengenai salah satu peringkat awal dalam evolusi serangga ketika menyesuaikan diri daripada persekitaran berair kepada kehidupan di daratan. - ©XINHUA