Empat jam tangan bernilai USD1.3 juta dicuri dari kedai di Tokyo

25 Og 2026 - 9:53am

TOKYO, 25 Ogos. - Empat jam tangan bernilai kira-kira 200 juta yen (USD1.3 juta) dicuri pada Selasa dari sebuah kedai di kompleks membeli-belah yang popular dalam kalangan peminat komik dan animasi Jepun di Tokyo, manakala dua individu dipercayai melarikan diri dari lokasi kejadian, menurut polis, lapor Kyodo News.

Sekurang-kurangnya seorang individu yang memakai pelitup muka hitam dan cermin mata hitam menggunakan tukul untuk memecahkan cermin pameran berhampiran pintu masuk kedai di kompleks Nakano Broadway sebelum melarikan diri dengan skuter elektrik.

Kejadian rompakan itu berlaku ketika kedai berkenaan dibuka. Tiada seorang pun daripada lima kakitangan yang berada di dalam kedai cedera, menurut polis.

Panggilan kecemasan dibuat kepada polis kira-kira tengah hari memaklumkan bahawa seseorang telah memecahkan cermin pameran dan melarikan diri dengan membawa beberapa barangan di dalamnya. - ©BERNAMA