SYDNEY, 28 Julai. - Syarikat pembekal tenaga terbesar Australia pada Selasa memaklumkan bahawa data kira-kira 900,000 pelanggannya terjejas dalam insiden keselamatan yang didedahkan awal bulan ini, lapor Xinhua.
Ketua Pegawai Eksekutif Origin Energy Frank Calabria dalam satu kenyataan berkata syarikat itu telah menyelesaikan fasa awal semakan terhadap insiden berkenaan dan percaya maklumat kira-kira 900,000 pelanggan semasa serta bekas pelanggan telah diakses.
Beliau berkata Origin Energy sedang bekerjasama dengan pakar keselamatan siber, pakar forensik dan pihak berkuasa bagi memastikan insiden itu dapat dibendung.
"Kepada pelanggan kami, saya memohon maaf. Kami amat menghargai kepercayaan yang diberikan pelanggan kepada Origin Energy serta tanggungjawab kami untuk melindungi maklumat mereka," kata Calabria.
Origin Energy pada 22 Julai mengumumkan bahawa pihaknya sedang menyiasat kemungkinan berlaku pelanggaran keselamatan, sebelum mengesahkan keesokan hari bahawa terdapat akses tanpa kebenaran dan pendedahan data sesetengah pelanggan.
Maklumat yang terjejas termasuk nama, tarikh lahir, alamat, nombor telefon serta sebahagian butiran akaun bank dan kad kredit.
Menurut Calabria, Origin Energy menyediakan khidmat sokongan khusus dalam aspek identiti dan keselamatan siber, sambil menasihatkan pelanggan agar berwaspada terhadap sebarang panggilan, e-mel atau mesej mencurigakan.
Origin Energy membekalkan perkhidmatan elektrik, gas dan Internet kepada kira-kira 4.8 juta pelanggan di Australia.
Harga saham syarikat itu di Bursa Sekuriti Australia (ASX) susut 6.3 peratus sejak awal Julai kepada AUD10.38 (US$7.25) setakat pagi Selasa. - ©BERNAMA