FRANKFURT, 21 Ogos. - Sebuah kereta merempuh dinding sebuah gedung serbaneka selepas dipercayai dipandu laju melalui zon pejalan kaki di bandar Hofgeismar, Republik Persekutuan Jerman, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa) pada Jumaat memetik polis.
“Kenderaan itu yang dikatakan dipandu pada kelajuan tinggi melalui zon pejalan kaki dipercayai melanggar beberapa individu,” menurut polis. Sekurang-kurangnya seorang dilaporkan cedera dalam kejadian pada pagi Jumaat.
“Menurut saksi, lelaki itu mengalami masalah kesihatan sejurus sebelum kenderaannya memasuki zon pejalan kaki,” menurut ibu pejabat polis Hesse Utara.
Polis dan pasukan kecemasan dikerahkan dalam jumlah besar ke lokasi kejadian. Pemandu kereta itu sedang menerima rawatan daripada doktor kecemasan.
Menurut polis, belum ada maklumat jelas mengenai tahap kecederaan mangsa. - ©BERNAMA