CANBERRA, 28 Julai. - Operasi mencari seorang bayi hilang sedang giat dijalankan selepas seorang wanita dan seorang kanak-kanak ditemukan maut di laut berhampiran pantai Australia Selatan (SA) pada Isnin, lapor Xinhua.
Mayat wanita berusia 36 tahun dan anak kecilnya itu dikesan oleh seorang anggota polis yang bertindak balas terhadap laporan mengenai sebuah kereta yang enjinnya masih hidup di kawasan parkir di puncak tebing, di pantai tenggara SA pada pagi Isnin.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke darat oleh pasukan perkhidmatan kecemasan dengan bantuan nelayan tempatan dan operasi mencari bayi yang hilang itu telah dilancarkan melalui darat, laut dan udara.
Operasi pencarian ditangguhkan pada malam Isnin dan disambung semula pada Selasa.
"Kami amat bimbang. Kanak-kanak itu berusia kurang setahun dan keadaan semasa menimbulkan kebimbangan serius mengenai keupayaannya untuk terus hidup," kata Superintendan Polis SA, Trent Cox, kepada pemberita pada malam Isnin.
"Kami terbuka kepada sebarang kemungkinan, namun saya tidak menaruh harapan tinggi”.
Beliau berkata polis sedang meneliti pergerakan wanita itu pada pagi Isnin serta bagaimana beliau dan kanak-kanak kecil berkenaan boleh berada di dalam laut. - ©BERNAMA