Australia tubuh rizab 1 bilion liter bahan api jet, diesel

19 Og 2026 - 10:44am

CANBERRA, 18 Ogos. - Kerajaan Australia pada Selasa mengumumkan akan mewujudkan rizab strategik berjumlah satu bilion liter bahan api jet dan diesel bagi melindungi negara itu daripada kejutan bekalan pada masa depan, lapor Xinhua.

Menteri Perubahan Iklim dan Tenaga Chris Bowen serta Menteri Pengangkutan Catherine King dalam kenyataan bersama Menteri Pertanian Julie Collins berkata kerajaan akan melabur A$3.2 bilion (US$2.3 bilion) untuk mewujudkan Rizab Keselamatan Bahan Api Australia.

Mereka berkata rizab milik kerajaan itu akan terdiri daripada gabungan satu bilion liter diesel dan bahan api jet sebagai langkah perlindungan daripada gangguan bekalan antarabangsa serta ketidaktentuan pasaran bahan api.

"Australia tidak boleh terus terdedah kepada gangguan bekalan bahan api yang berlaku di luar negara. Justeru, kami membuat pelaburan bersejarah ini bagi memperkukuh keselamatan bekalan bahan api," kata Bowen.

Pembiayaan bagi rizab itu akan diperoleh daripada A$14.8 bilion (US$10.5 bilion) yang diperuntukkan untuk langkah keselamatan dan daya tahan bekalan bahan api dalam belanjawan persekutuan 2026-27.

Peruntukan bagi keselamatan dan daya tahan itu diumumkan Perdana Menteri Anthony Albanese pada Mei susulan kejutan bekalan minyak global akibat konflik di Asia Barat yang mendorong harga bahan api di Australia melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah.

Bowen, King dan Collins turut berkata pada Selasa bahawa kerajaan telah membuka tempoh rundingan mengenai rancangan untuk membangunkan industri bahan api cecair rendah karbon domestik Australia bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import, serta pilihan untuk menyokong dua loji penapisan minyak yang masih beroperasi di negara itu supaya dapat meneruskan operasi selepas 2030.

King berkata pembangunan industri bahan api cecair rendah karbon domestik akan mewujudkan peluang pekerjaan, merancakkan ekonomi wilayah, memperkukuh keselamatan bekalan bahan api serta memastikan industri pengangkutan lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan. - ©BERNAMA