Angka korban gempa bumi di Colombia meningkat kepada 314

20 Og 2026 - 11:23am

BOGOTA (COLOMBIA), 20 Ogos. - Angka korban akibat gempa bumi dahsyat bermagnitud 7.4 yang melanda barat Colombia meningkat kepada 314 orang, menurut laporan Unit Kebangsaan Pengurusan Risiko Bencana (UNGRD) yang dikeluarkan pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi.

Agensi itu mengesahkan pasukan kecemasan masih mencari 262 individu yang hilang. Jumlah mangsa yang cedera meningkat kepada 4,437 orang, manakala 364 lagi berjaya diselamatkan dari bawah runtuhan.

Secara keseluruhan, seramai 262,154 orang secara rasmi didaftarkan sebagai terjejas di 471 kawasan perbandaran dalam 15 daripada 32 wilayah di Colombia.

Gempa bumi yang berlaku pada 7.34 pagi waktu tempatan (1234 GMT) pada 10 Ogos itu merupakan peristiwa seismos paling kuat melanda Colombia pada abad ini.

Kemusnahan fizikal terhadap infrastruktur awam dan swasta menyebabkan rangkaian kesihatan dan pengangkutan di wilayah terjejas lumpuh teruk. Menurut angka terkini UNGRD, sekurang-kurangnya 30,664 rumah musnah sepenuhnya, 136,946 lagi mengalami kerosakan struktur dan 302 bangunan runtuh, terutamanya di Cali dan Pereira.

Kerosakan struktur turut direkodkan di 3,470 sekolah, 4,971 pusat komuniti dan 352 pusat penjagaan kesihatan, dengan beberapa daripadanya terpaksa memindahkan pesakit. Kerosakan turut melibatkan 449 jalan raya, 58 jambatan kenderaan, 13 jambatan pejalan kaki, 105 sistem akuaduk perbandaran dan lima lapangan terbang serantau. - ©BERNAMA