ISTANBUL, 5 Ogos. - Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump membincangkan usaha untuk meredakan ketegangan antara Washington dan Tehran menerusi perbualan telefon pada Selasa, menurut Emiri Diwan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kedua-dua pemimpin meneliti perkembangan terkini di rantau itu, khususnya membabitkan usaha meredakan ketegangan antara AS dan Iran serta merapatkan jurang antara kedua-dua pihak “bagi meningkatkan prospek penyelesaian diplomatik yang berkekalan,” menurut kenyataan itu.
Trump memuji peranan Qatar di bawah kepimpinan Sheikh Tamim dalam menyokong usaha diplomatik dan memudahkan dialog antara pihak terlibat, yang disifatkannya menyumbang kepada pengukuhan keselamatan dan kestabilan serantau.
Sheikh Tamim pula menekankan kepentingan untuk meneruskan dialog dan mengutamakan saluran diplomatik dalam menangani pertikaian yang masih belum diselesaikan.
Beliau turut menggesa semua pihak mematuhi persefahaman yang dicapai menerusi memorandum persefahaman AS-Iran serta menyokong inisiatif antarabangsa yang bertujuan membendung ketegangan dan memperkukuh keamanan serta keselamatan serantau dan antarabangsa.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan beberapa isu berkepentingan bersama dan menegaskan semula kepentingan meneruskan penyelarasan serta rundingan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa. AS dan Iran menandatangani memorandum persefahaman pada 17 Jun dan memulakan rundingan ke arah mencapai perjanjian muktamad.
Bagaimanapun, rundingan itu kemudian menemui jalan buntu susulan perselisihan mengenai jaminan keselamatan dan kebebasan pelayaran melalui Selat Hormuz, antara laluan paling strategik di dunia bagi bekalan tenaga serta perdagangan global. - ©BERNAMA