PARIS, 25 Ogos. - Tornado merosakkan kira-kira 100 rumah dan mencederakan 26 orang di selatan Republik Perancis pada Isnin, manakala ribuan isi rumah terputus bekalan elektrik, lapor Agensi Berita Jerman (DPA).
Menurut pihak berkuasa tempatan, ribut itu melanda komun Pomas di kawasan kaki bukit Banjaran Pyrenees pada lewat petang dengan kebanyakan kerosakan melibatkan bumbung.
Kira-kira 2,800 isi rumah masih terputus bekalan elektrik pada Isnin malam, manakala beberapa jalan terhalang akibat dahan pokok yang tumbang.
Penginapan sementara disediakan untuk penduduk yang rumah mereka rosak, manakala 100 anggota bomba terlibat dalam usaha pembersihan di kawasan itu.
Ribut itu turut mengganggu trafik penerbangan, dengan Menteri Pengangkutan Philippe Tabarot memaklumkan berlaku kelewatan dan pembatalan penerbangan di lapangan terbang Nice, Bordeaux, Marseille dan Toulouse serta di Paris. - ©BERNAMA