2 maut helikopter terhempas ketika bantu padam kebakaran hutan di Utah

9 Og 2026 - 2:27pm

LOS ANGELES, 9 Ogos. - Dua maut selepas sebuah helikopter terhempas ketika membantu operasi memadam kebakaran hutan di Utah, Amerika Syarikat (AS), lapor Xinhua.

Pusat Kebakaran Antara Agensi Kebangsaan AS memaklumkan helikopter yang digunakan oleh Perkhidmatan Hutan AS itu terlibat dalam kemalangan ketika operasi menangani kebakaran Widemouth 2, mengorbankan juruterbang dan seorang kru.

Identiti kedua-dua mangsa belum didedahkan. Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata pesawat jenis Sikorsky S-64 itu terhempas berhampiran Richfield kira-kira 10 pagi waktu tempatan pada Jumaat.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) mengetuai siasatan terhadap kejadian itu. Maklumat awal menunjukkan helikopter berkenaan terhempas di kawasan terpencil atas sebab yang masih belum diketahui ketika operasi memadam kebakaran sedang dijalankan.

Pegawai tempatan berkata kebakaran yang masih aktif serta bentuk muka bumi yang sukar pada mulanya menghalang pasukan daripada menghampiri lokasi nahas. Pegawai bomba berkata nahas itu turut mencetuskan kebakaran baharu, sekali gus menyukarkan akses dan meningkatkan risiko keselamatan kepada anggota penyelamat.

Gabenor Utah Spencer Cox berkata kejadian itu menggambarkan bahaya yang dihadapi anggota bomba dalam operasi kebakaran hutan. "Memadam kebakaran hutan adalah antara pekerjaan paling berbahaya di dunia. Hari ini menjadi peringatan menyedihkan mengenai risiko luar biasa yang dihadapi anggota ini demi melindungi kita," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut meminta penduduk memberi ruang dan masa kepada penyiasat serta anggota kecemasan untuk meneruskan tugas. Kebakaran Widemouth 2 bermula pada 27 Julai selepas petir menyambar kayu-kayan kering, belukar dan rumput di Hutan Negara Fishlake berhampiran Kanosh, sebuah komuniti kecil di tengah Utah.

Kebakaran itu merebak dengan pantas susulan cuaca kering, suhu tinggi dan angin tidak menentu, sehingga memaksa pemindahan penduduk serta menyebabkan kerosakan harta benda. Pegawai berkata sekurang-kurangnya enam struktur musnah.

Menurut Utah Fire Info, sumber maklumat awam antara agensi mengenai kebakaran hutan di negeri itu, kebakaran berkenaan telah memusnahkan lebih 114,000 ekar (kira-kira 461 kilometer persegi) dan setakat ini 24 peratus berjaya dikawal. - ©BERNAMA