12 maut dalam kebakaran hutan di Algeria

27 Og 2026 - 8:41am

ALGIERS, 27 Ogos. - Sekurang-kurangnya 12 orang maut dalam kebakaran hutan yang melanda tiga wilayah di timur laut Algeria, lapor Xinhua memetik Menteri Dalam Negeri Said Sayoud pada petang Rabu.

Sayoud berkata mangsa yang terkorban termasuk lima orang di wilayah Jijel, empat di Bejaia dan tiga di Tizi Ouzou.

Setakat 8 malam waktu tempatan (1900 GMT) pada Rabu, sebanyak 159 kawasan kebakaran direkodkan di beberapa wilayah, dengan 90 berjaya dipadamkan manakala 69 lagi masih aktif, menurut pihak berkuasa Perlindungan Awam.

Bejaia mencatat jumlah kebakaran aktif tertinggi dengan 18 kes, diikuti Skikda 13, Tizi Ouzou 12 dan Jijel tujuh.

Beberapa keluarga turut dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga selepas kebakaran menghampiri kawasan kediaman.

Negara Afrika Utara itu berdepan kebakaran hutan berulang sejak beberapa bulan kebelakangan ini yang meragut lebih 20 nyawa serta memusnahkan hutan, tanah pertanian dan kediaman. - ©BERNAMA