Manage PermissionsManage Permissions

Kerepek pisang trademark Kampung Kapok

28/03/2015

Oleh: Norliah Md. Zain / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said



menyusur


knkRUANGAN Kenali Negara Kitani kali ini memaparkan sebuah kampung yang telah memenangi Anugerah Perak bagi Anugerah Kampung Cemerlang (AKC) Peringkat Kebangsaan Ke-3 Tahun 2014, iaitu Kampung Kapok yang terletak di Mukim Serasa.


Kampung Kapok merupakan sebuah kampung Mukim Serasa terletak di antara Bukit Tempayan Pisang dengan Laut Cina Selatan kira-kira 23 kilometer dari Bandar Seri Begawan dan empat kilometer dari Pekan Muara. Kampungkampung yang terdapat di bawah Kampung Kapok adalah Kampung Kapok Kanan, Kampung Kapok Kiri, Kampung Pengalayan, Kampung Bukit Kebun dan Kampung Meragang.


Kampung ini diketuai oleh Awang Haji Marali bin Haji Ahmad, 57 tahun, sejak 28 Mei 2008. Kampung Kapok berkeluasan 1,241.01 hektar mempunyai 561 buah rumah dengan keramaian keseluruhan penduduknya sebanyak 4,337 penduduk terdiri daripada 2,266 lelaki dan 2,071 perempuan.

 

rencana 280315 SABTU 03SEBAHAGIAN daripada tanaman pisang penduduk kampung.

rencana 280315 SABTU 05SEKOLAH Rendah Kapok.

Kampung ini juga tidak terkecuali menerima pelbagai kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan seperti sekolah, masjid, elektrik, air, jalan raya, telefon dan sebagainya. Kampung ini juga terkenal dengan sebuah taman rekreasinya iaitu Taman Rekreasi Bukit Tempayan Pisang yang telah menerima banyak kunjungan orang ramai dari segenap lapisan masyarakat di negara ini dan tidak terkecuali para pelancong dari luar negeri.

rencana 280315 SABTU 00MASJID Kampung Kapok.

Selain kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan, kampung ini juga terdapat sebuah pusat sumber yang terletak di rumah ketua kampung bagi menjana budaya membaca dalam kalangan penduduk kampung. Selain itu, terdapat juga sebuah stesen minyak dan kedai-kedai untuk kemudahan penduduknya.


ASAL NAMA KAMPUNG


Asal usul nama Kampung Kapok yang dituturkan oleh orang-orang tua adalah bermula dari sepohon Pokok Kapok yang mempunyai saiz besar dan berbeza dari pohon Pokok Kapok yang berada sekelilingnya. Pada ketika itu, para penduduk di kawasan berkenaan mendapat faedah daripada buah-buah Kapok untuk dijadikan bantal selain dari lumut. Perkataan Kapok itu juga diguna pakai oleh orang-orang yang sama ada berasal dari kawasan berkenaan mahupun mereka yang hendak pergi ke kawasan tersebut dengan menyatakan mereka ‘dari Kapok” dan 'hendak pergi ke Kapok'. Maka dari situ, penggunaan nama Kapok terus melekat dan kampung tersebut dinamakan sebagai Kampung Kapok.

rencana 280315 SABTU 04JALAN masuk ke Taman Riadah Bukit Tempayan Pisang.

PRODUK


Kampung ini terkenal dengan produk kerepek pisang yang mempunyai enam rasa, iaitu rasa asli, durian, milo, jagung, pandan dan kopi.


Walau bagaimanapun, menurut Awang Haji Marali, kerepek pisang rasa kopi jarang dikeluarkan memandangkan sambutannya yang kurang menggalakkan, namun penduduk kampung bersedia membuatnya jika ada tempahan daripada orang ramai.


Produk ini akan divariasikan lagi dengan beberapa corak dan rasa yang lebih menarik pada masa yang akan datang. Proses pembuatan produk pada masa kini semakin canggih dan moden. Justeru, penghasilan produk yang menggunakan mesin telah melipatgandakan hasil produk.


Dari segi pemasaran pula, para ahli melakukannya melalui jualan langsung, internet, menyertai ekspo, secara tempahan pelanggan dan sebagainya. Kaedah ini didapati memberikan pulangan hasil yang cepat berbanding dengan jualan menggunakan kaedah menghantar ke kedai-kedai runcit.

Kehalalan dan kebersihan yang terjamin sepanjang pembuatan dan pembungkusan kerepek yang menarik telah menarik perhatian para pelanggan membuatkan produk ini menjadi sinonim bagi kampung ini.

rencana 280315 SABTU 01SEBAHAGIAN daripada kerepek pisang dengan pelbagai perisa (atas dan bawah).

rencana 280315 SABTU 02

Pembuatan kerepek pisang tersebut dilaksanakan di rumah ketua kampung dan dikendalikan oleh Biro Ekonomi dan Biro Wanita serta belia dan beliawanis dengan bilangan ahli 90 orang. Pembuatan produk ini adalah secara gotong-royong bagi menanamkan semangat kerjasama dan mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan ahlinya.


Mesyuarat Majlis Perundingan Kampung pada 22 April 2012 telah bersetuju menetapkan yuran sebanyak BND10.00 dikenakan bagi setiap ahli, sehingga terkumpulnya wang permulaan sebanyak BND 900.00. Maka dengan hasil kutipan yuran ahli-ahli itu telah dijadikan modal permulaan bagi menjalankan projek membuat kerepek pisang. Sumber bahan mentah pula diperolehi daripada tanaman penduduk kampung. Namun sekiranya tidak mencukupi, barulah para ahli akan cuba mencari bahan mentah di luar kawasan kampung.


Penyertaan penduduk kampung terhadap projek perekonomian MPK ini amat menggalakkan, yang mana ahli-ahlinya sepakat mempunyai pemikiran dan perubahan sikap ingin maju dan proaktif di dalam reka cipta produk kampung. Ini penting bagi menjana pendapatan dalam kalangan penduduk kampung.


Kesepakatan dan perpaduan yang dimiliki oleh penduduk kampung ini telah membuahkan hasil dengan memenangi Anugerah Perak bagi AKC Peringkat Kebangsaan Ke-3 Tahun 2014. Sikap saling memeduli, tolong-menolong, tidak camah mata dan aktif dalam pelbagai aktiviti kampung juga membuatkan kampung ini bertambah makmur.


Ketua kampung yang ditemui turut melahirkan rasa syukur kerana mempunyai penduduk yang bersedia memberikan kerjasama apabila diperlukan dalam apa jua kegiatan dan aktiviti kampung ini.


Semoga kemakmuran dan kesepakatan yang dimiliki di kampung ini akan berkekalan terutama untuk generasi akan datang.

Attachments