Manage PermissionsManage Permissions

Brunei - Kuwait teroka peluang kerjasama

20/05/2015

Oleh: Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor dari Kuwait


RENCANA RABU 20052015 BRUNEI KUWAIT TEROKA PELUANG KERJASAMA

RENCANA RABU 20052015 BRUNEI KUWAIT TEROKA PELUANG KERJASAMA

PERTEMUAN DUA PEMIMPIN ... Keberangkatan Negara dua hari Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan
Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Kuwait  setentunya akan memperkukuhkan hubungan
serta meneroka peluang-peluang kerjasama yang berpotensi untuk manfaat kedua-dua buah negara.

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM dan Kuwait telah menjalinkan hubungan diplomatik sejak 1 Mei 1990 dan terus berkembang sehingga kini meliputi bidang perdagangan, ekonomi, kebudayaan, perhubungan, pendidikan, kesihatan, pelancongan dan sukan.

Sejak penubuhan diplomatik, kedua-dua buah negara merancang beberapa strategi untuk mengeratkan lagi hubungan dengan mengadakan pertukaran lawatan di antara pemimpin, pembesar dan mengadakan mesyuarat dua haladi antara Negara Brunei Darussalam dan Kuwait.

Kerjasama dua hala Negara Brunei Darussalam dan Kuwait meliputi hal ehwal Islam, perdagangan, pendidikan, perkhidmatan udara, serta minyak dan gas. Dalam kerjasama hal ehwal Islam, Negara Brunei Darussalam telah menyertai Pertandingan Membaca, Menghafaz dan Tajweed Al-Qur'an sejak tahun 2010.

Selain itu, Bandar Seri Begawan dan Bandaraya Kuwait juga telah mencapai hubungan yang cemerlang terutama dalam rangka kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

Keberangkatan Negara dua hari Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Kuwait bermula pada 18 hingga 19 Mei ini setentunya akan memperkukuhkan hubungan serta meneroka peluang-peluang kerjasama yang berpotensi untuk manfaat kedua-dua buah negara.

KEBERANGKATAN NEGARA

Sebelum ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia pernah mengadakan keberangkatan mengadakan lawatan negara pada 6 hingga 7 Februari 1994 atas jemputan mantan Amir Kuwait, Duli Yang Maha Mulia Sheikh Saad Al-Abdullah Al-Sabah.

Semasa lawatan tersebut, baginda berkenan melawat ke beberapa buah tempat menarik di Kuwait seperti Menara Kuwait, Kelab Menunggang Kuda dan 'Rumah-Rumah Penentangan Al-Qurain'.

Keberangkatan Kebawah DYMM seterusnya adalah pada 13 hingga 15 April 2009 yang telah berhasil merapatkan hubungan mesra dan meningkatkan kesefahaman dalam pelbagai bidang.

Semasa keberangkatan itu, Negara Brunei Darussalam dan Kuwait telah menandatangani tiga perjanjian dan MoU, iaitu Perjanjian Penggalakan dan Perlindungan Timbal Balik Pelaburan (BIT); Perjanjian Pengelakan Cukai Berganda dan Pencegahan Pelarian Fiskal berkenaan dengan Cukai-Cukai ke atas Pendapatan (DTA); dan MoU mengenai dengan kerjasama dalam bidang minyak dan gas.

Keberangkatan Negara yang merupakan kali ketiga Kebawah DYMM ke Kuwait ialah pada 15 hingga 17 Oktober 2012, iaitu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Dialog Kerjasama Asia (ACD) Pertama telah memberi peluang kedua-dua buah negara untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala selain untuk meneroka lebih banyak peluang meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang bagi kepentingan bersama.

Sidang Kemuncak ACD Pertama tersebut dihasratkan untuk mengukuhkan kerjasama kalangan negara-negara di benua Asia bagi kepentingan bersama.

Matlamat utama ACD adalah untuk menggalakkan kerjasama dalam kalangan ahli selain untuk memperluas pasaran perdagangan dan kewangan di dalam benua Asia yang kukuh dan berpotensi.

Sebanyak 20 bidang kerjasama telah dikenal pasti untuk diambil tindakan yang meliputi bidang-bidang keselamatan tenaga, mengatasi kemiskinan, pertanian, hubungan pengangkutan, bioteknologi, e-Perdagangan, dana infrastruktur, e-Pendidikan, institut piawaian Asia, kerjasama Peniaga Kecil dan Sederhana, Pembangunan IT, sains dan teknologi, pelancongan, kumpulan kerja dalam kerjasama kewangan, pembangunan sumber tenaga manusia, pendidikan alam sekitar, pengukuhan infrastruktur perundangan, keselamatan jalan raya, bencana alam dan kebudayaan.

Pada Sesi Tertutup Pertama Sidang Kemuncak ACD, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah bahawa Negara Brunei Darussalam percaya cara yang paling berkesan untuk mempersiap-siagakan penduduknya melalui pendidikan terutama dalam kalangan belia yang akan mewarisi potensi Asia dalam menghadapi dan menangani cabaran dunia moden masa kini.

Sementara itu, keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri ke Kuwait pada 9 hingga 13 Mac 2013 yang lalu juga setentunya telah memperkukuhkan hubungan serta meneroka peluang-peluang kerjasama yang berpotensi untuk manfaat kedua-dua buah negara.

Sebelum ini Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah juga pernah mengadakan keberangkatan lawatan rasmi yang pertama ke Kuwait pada 1 hingga 4 Ogos 2010 atas jemputan His Highness Crown Prince Sheikh Nawaf Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah.

Mantan Perdana Menteri Kuwait, His Highness Sheikh Nasser Al-Mohammed Al-Ahmed Al-Jaber Al-Sabah juga telah mengadakan lawatan rasmi ke Negara Brunei Darussalam pada bulan Julai 2008 dan November 1990.

Negara Brunei Darussalam telah menubuhkan pejabat di Kuwait pada bulan Disember 2009, manakala Kuwait pula menubuhkan pejabat kedutaannya di Bandar Seri Begawan pada bulan September 2008.

Kuwait yang bersempadan dengan Arab Saudi di Selatan dan Iraq di Utara mempunyai keluasan 17,818 kilometer persegi dengan anggaran keramaian penduduknya 4,044,500 juta.

Ibu negara Kuwait ialah Bandaraya Kuwait dan hasil utama negara berkenaan ialah minyak dan gas yang merupakan negara kelima terbesar mempunyai simpanan minyak serta merupakan salah sebuah negara terkaya di dunia dengan pendapatan per kapita USD71,020.

Negara ini mempunyai dua musim cuaca yang amat kontras, iaitu musim panas (Mei hingga Oktober), suhunya boleh mencapai 50 darjah celsius dan musim sejuk (November hingga April), suhunya boleh menurun hingga ke 0 darjah Celsius.

Attachments