Manage PermissionsManage Permissions

Menyusur ke Kampung Sengkurong 'A'

05/09/2015

Oleh: Norliah Md. Zain / Foto : Azmah Haji Ahad



rencana001 050915 menyusur ke kampung sengkurong a


rencana002 050915 menyusur ke kampung sengkurong aRUANGAN Kenali Negara Kitani kali ini memaparkan kisah mengenai Kampung Sengkurong 'A' yang terletak di Mukim Sengkurong. Kini, kampung ini ditadbir oleh seorang Ketua Kampung, iaitu Dr. Awang Haji Abdullah Hanif bin Orang Kaya Maharaja Dinda Haji Saman sejak 2 Januari 2013.

Menurut sumber yang diperolehi daripada Ketua Kampung Sengkurong 'A', sebanyak sembilan ketua kampung (sebelum Perang Jepun ketua kampung digelar penghulu) telah mentadbir kampung ini dari Abad Ke-19 hingga Abad Ke-21. Mereka adalah Awang Asmat bin Bakar (awal 1900); Awang Haji Tamit bin Asmat (1930-1941); Awang Haji Bakar bin Haji Jamaluddin (1942-1946); Awang Haji Ibrahim bin Budin (1948-1949); Orang Kaya Maharaja Dinda Haji Saman bin Haji Tamit (1949) yang kemudiannya menjadi penghulu pada tahun 1950-1986; Awang Sabtu bin Haji Asar (1976-1987); Orang Kaya Maharaja Dinda Haji Ghafar bin Zaman (1987-1998); Awang Haji Serudin bin Haji Nasir (1999-2012) dan kini Dr. Awang Haji Abdullah Hanif bin Orang Kaya Maharaja Dinda Haji Saman.

Menurut Dr. Awang Haji Abdullah Hanif, dikhabarkan nama Sengkurong berasal dari sebatang sungai yangberlingkar dan mengurungi satu tanah. Kedudukan dan aliran sungai ini seolah-olah membuat bulatan mengelilingi daratan tersebut dan di atas daratan ini dijadikan sebagai penempatan awal.

rencana005 050915 menyusur ke kampung sengkurong aKETUA Kampung Sengkurong 'A', Dr. Awang Haji Abdullah Hanif bin Orang Kaya Maharaja Dinda Haji Saman.

Istimewanya kampung ini ia mempunyai permukaan bumi yang unik, iaitu di sebelah Barat Utara mempunyai permukaan tanah yang sangat tinggi manakala di sebelah Timur dan tengah kawasan rata. Sementara di sebelah Selatan mempunyai kawasan berpaya.

Kampung ini bersempadan dengan beberapa kampung lain, iaitu Kampung Jerudong di sebelah Utara, Kampung Mulaut di sebelah Selatan dan Kampung Sengkurong 'B' dan Selayun Tagap di sebelah Timur. Manakala di sebelah Barat pula terletak Kampung Tanjung Nangka,Kampung Katimahar dan Kampung Lugu.

Terdapat beberapa kampung kecil di bawah tadahan KampungSengkurong 'A', iaitu Kampung Mengawang, Kampung Limpuan (belakang Masjid Sultan Sharif Ali), Kampung Pasai I, Kampung Pasai II, Sungai Tampoi, Ban 3 dan sekitarnya,dari persimpangan Jalan Jerudong, iaitu kawasan Bukit Bantai / Pantai, Pulau Besar, Lubok Sidayau, Bukit Berangan, Bukit Manis hinggakawasan Durian Tunjung, dan juga dari persimpangan Jalan Mulaut Limau Manis sehingga sebelum kawasan bekas kincir angin.

SEJARAH KEMUDAHAN

Merujuk sumber yang diperolehi daripada Ketua Kampung Sengkurong 'A', sekitar kurun Ke-20, penduduk kampung telah memilih Kampung Mengawang sebagai lokasi bagi membina Balai Raya yang dikatakan tapak Bangunan Syarikat Melayu Sengkurong sekarang.

Sekitar tahun 1930, atas inisiatif Penghulu Kampung ketika itu, iaituAllahyarham Haji Tamit bin Asmat serta anak-anak buahnya telahmembangun Sekolah MelayuSengkurong secara gotong-royong yang bahan-bahannya terdiri daripada separuh kekal. Sekolah ini kemudiannya dinaik taraf lapan tahun kemudian oleh pihak kerajaan dengan menggantikannya menjadi bangunan kekal.

rencana004 050915 menyusur ke kampung sengkurong aPUSAT Kesihatan Jubli Perak Sengkurong.

Kampung Sengkurong 'A' menjadi tumpuan perhimpunan orang ramaidan turut menjadi focal point terbinanya beberapa bangunanbangunankerajaan seperti Rumah Penjara Jerudong pada 1 Mac 1954 dan Pos Polis Sengkurong sekitartahun 1929.

Aktiviti perusahaan pembuatan bata juga ada di kampung ini yang diusahakan oleh Syarikat Soon Lee Brickworks bermula awal tahun 1940-an dan 1950-an selaku pembekal utama satu ketika dahulu. Pada tahun 1969, atas inisiatif penduduk kampung, Syarikat MelayuSengkurong telah ditubuhkan dengan tujuan untuk meningkatkan ekonomi para ahlinya.

Ketika ini, terdapat beberapa bangunan cawangan-cawanganjabatan kerajaan di kampung ini seperti Jabatan Perkhidmatan ElektrikCawangan Sengkurong, Jabatan Perkhidmatan Pos Sengkurong dan Pusat Kesihatan Jubli Perak Sengkurong.

Kampung ini juga sering menjadi tumpuan bila mana beberapa bangunan komersial turut dibangunkan di kawasan ini bermula pada era 1980-anhingga sekarang. Beberapa prasarana juga telah diwujudkan seperti Dewan Kemasyarakatan, jejantas berdepanan Sekolah Rendah Sengkurong, Bangunan Sekolah Menengah Sayyidina Hussein, gelanggang sukan dan sebagainya.

SEJARAH PEMBINAAN MASJID

Penghulu serta penduduk kampung juga telah membuat inisiatif membina Masjid Kampung Sengkurong pada tahun 1929 yang ketika itu bangunannya hanyalah setinggi tiga kaki dari tanah yang dibina di atas tanah yang diwakafkan oleh penghulu kampung sendiri.

Dengan pertambahan penduduk, masjid ini telah dibesarkan oleh pihak kerajaan dengan pembinaan masjid baru (diperbuat daripada batu) telah dilaksanakan pada tahun 1966 dan siap setahun kemudiannya. Bangunan masjid baru berkenaan telah diundurkan sedikit dari jalan raya sekitar 10 kaki dari tapak asal, iaitu termasuk kawasan Awang Haji Ibrahim bin Budin yang telah mewakafkan menjadi sebahagian daripada kawasan masjid.

rencana003 050915 menyusur ke kampung sengkurong aMASJID Sultan Sharif Ali Sengkurong.

Seiring dengan pertambahan penduduk dan waktu, dari masjid kayu bertukar menjadi masjid batu dan seterusnya bertukar wajah menjadi masjid jame'. Melihat kepada keperluan jemaah yang semakin meningkat, masjid jame' ini tidak lagi mampu menampung kepadatan jemaah. Atas keprihatinan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, sebuah masjid baru telah dibina di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-4 (1980-1984), iaitu bermula pada 25 Februari 1984 dan telah siap pada bulan Januari 1986.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum SultanHaji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan merasmikan masjid ini.

Masjid ini telah dinamakan sebagai Masjid Sultan Sharif Ali Mukim Sengkurong. Kedudukan tapak masjid yang berkeluasan empat ekar itu adalah lebih kurang berhadapan dengan tapak masjid lama. Tanah bagi tapak masjid ini diwakafkan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Digadong Dato Seri Setia Awang Haji Mohd. Noor bin Pehin Orang Kaya Laksamana Haji Abdul Razak.

PENDUDUK

Menurut Banci Penduduk 2011 yang dikelolakan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), jumlah penduduk Kampung Sengkurong 'A' keseluruhannya 4,553 orang yang terdiri daripada 2,398 lelaki dan 2,155 perempuan. Sebanyak 790 tempat kediaman yang terdapat di kampung ini.

Adapun penduduk asal Kampung Sengkurong 'A' adalah Puak Kedayan beragama Islam. Keberadaan Puak Kedayan di kampung ini sudah wujud sejak ratusan tahun lamanya kerana ia merupakan penempatan awal nenek moyang mereka. Oleh itu, penduduk yang ada ketika ini adalah susur galur keturunan para penduduk yang terdahulu yang mewarisi tanah pusaka secara turun-temurun. Bolehlah dikatakan penduduk asal perkampungan ini adalah berasal dari satu rumpun keturunan yang sama. Sebab itulah dalam kalangan penduduk aslinya pertalian keluarga tersebut masih belum begitu jauh dan saling berkaitan.

rencana006 050915 menyusur ke kampung sengkurong aJABATAN Perkhidmatan Elektrik Cawangan Sengkurong.

Walau bagaimanapun, sekitar tahun 1980-an, pencampuran penduduk mula kelihatan kerana adanya perkahwinan campur di antara penduduk kampung ini dengan orang yang bukan berasal dari kampung ini. Faktor kemajuan tanah seperti penyewaan rumah dan penjualan tanah kepada orang luar juga turut menyumbang kepada pencampuran penduduk. Ditambah lagi dengan aktiviti perniagaan semakin rancak menjadikan kampung ini sebagai penampungan para pekerja dari bangsa-bangsa asing. Sehinggalah sekarang Kampung Sengkurong 'A' bukan lagi didominasi oleh Puak Kedayan malahan turut dihuni oleh puak-puak lain seperti Melayu Brunei, Puak Tutong, Belait dan tidak terkecuali tenaga kerja asingseperti dari Indonesia, Cina, India,Bangladesh dan sebagainya.

Menurut Dr. Awang Haji Abdullah Hanif, ketika ini kebanyakan penduduk kampungnya adalah bekerja dengan kerajaan di samping sebahagiannya bekerja sendiri seperti membuat kelupis dan kraf tangan antaranya membuat tongkat, alat perhiasan, parang dan keris.

HARAPAN

Dr. Awang Haji Abdullah Hanif ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana sudah ramai penduduk kampungnya memiliki taraf pendidikan yang tinggi selain ramai kalangan bekas pegawai-pegawai kanan kerajaan yang bermastautin di kampung ini.

Walaupun kampung ini agak maju dari segi pembangunan, namun ketua kampung turut menyimpan hasrat untuk melihat adanya tempat untuk melaksanakan pertanian kelompok di kampung ini, iaitu di kawasan belakang Sekolah Menengah Sayyidina Hussein. Menurut Dr. Awang Haji Abdullah Hanif, jika perkara ini boleh dilaksanakan ia boleh menjadi satu landmark bagi Kampung Sengkurong 'A' selain boleh menjadi sumber pekerjaan tetap kepada generasi yang akan datang.

Selain itu, pada Simpang 159 dikampung ini terdapat sebuah tadahan air yang agak berpotensi dijadikan sebagai taman rekreasi.

Tidak dinafikan pembangunan yang terdapat di Kampung Sengkurong 'A' adalah hasil usaha generasi yang sebelumnya yang kemudiannya diteruskan oleh generasi yang ada pada masa ini. Selain itu, pihak kerajaan juga berperanan penting dalam memajukan dari segi infrastruktur di kampung ini.

Mudah-mudahan segala kemudahan yang terdapat di kampung ini memberikan banyak manfaat kepada penduduk kampung, di samping dapat meneladani jasa-jasa penduduk kampung yang sebelumnya.

Attachments