Manage PermissionsManage Permissions

Menyelusuri sejarah Kampung Jaya Bakti / Jaya Setia

21/11/2015

Norliah Md. Zain dengan kerjasama Pusat Sejarah Brunei Foto : Azmah Haji Ahad


rencana001 211115 jaya setia Menyelusuri sejarah Kampung Jaya Bakti  Jaya Setiarencana002 211115 jaya setia Menyelusuri sejarah Kampung Jaya Bakti  Jaya Setia

KAMPUNG Jaya Bakti dan Kampung Jaya Setia merupakan dua buah kampung perpindahan yang terletak di Mukim Berakas 'A'. Kedua-dua kampung ini ditadbir oleh Awang Haji Nordin bin Haji Awang Bakar. Ketua kampung ini juga merupakan Pemangku Ketua Kampung Burong Pingai Berakas.

SEJARAH KAMPUNG JAYA BAKTI

Pengiran Haji Damit bin Pengiran Ahmad menjelaskan, beliau berpindah ke Kampung Jaya Bakti pada tahun 1966. Kawasan ini merupakan kawasan perumahan yang diperuntukkan untuk pegawai-pegawai kerajaan sahaja. Tanah yang diberikan adalah seluas tiga suku ekar kepada setiap penerima. Rumah-rumah yang dibangunkan di kampung ini kebanyakannya menggunakan government loan (wang pinjaman kerajaan).

Menurut Allahyarham Awang Haji Metali bin Abdul Razak, bahawa asal usul Kampung Jaya Bakti hanyalah dari sebuah kawasan pokok getah. Sewaktu beliau mula-mula berpindah dahulu bangunan-bangunan kerajaan belum dibangunkan. Walau bagaimanapun, kerajaan mengusahakan segala kemudahan seperti menembok jalan. Sesudah semuanya selesai diusahakan, penduduk kampung dipanggil untuk mencabut undi bagi menentukan kedudukan rumah. Penduduk Kampong Ayer berpindah ke Kampung Jaya Bakti bermula pada 1 Julai 1966 secara berperingkat-peringkat. Penduduk kampung majoriti berbangsa Melayu yang berasal dari Kampong Ayer antaranya dari Kampung Burong Pingai, Kampung Saba dan Kampung Tamoi.

Kampung Jaya Bakti dikhaskan bagi kakitangan kerajaan. Penduduk kampung membina rumah dengan menggunakan pinjaman wang kerajaan masing-masing. Bagi penduduk Kampung Jaya Setia yang tidak bekerja mereka disediakan kedudukan rumah setengah ekar dan pulau getah empat ekar. Pokok getah empat ekar diusahakan bagi membayar hutang rumah tersebut. Bagi penduduk kampung yang hendak menambah rumah hendaklah membuat pelan terlebih dahulu dan dirujuk kepada Jabatan Perpindahan Perumahan.

SEJARAH KAMPUNG JAYA SETIA

Sementara itu, Allahyarham Dayang Hajah Piah binti Osman pula menjelaskan bahawa pada asalnya Kampung Jaya Setia adalah rancangan perpindahan perumahan kerajaan bagi penduduk dari Kampong Ayer ke darat. Penduduk yang berpindah mengikuti rancangan perpindahan perumahan kerajaan itu berasal dari Kampung Sungai Kebun, Kampung Saba dan lain-lain kampung. Pengkisah sekeluarga adalah berasal dari Kampung Sungai Kebun. Rancangan perpindahan ini bermula pada tahun 1965, yang diberikan kepada pemohon-pemohon dengan keluasan setengah ekar, sementara empat ekar adalah diperuntukkan untuk berkebun dan bercucuk tanam di mana hasilnya nanti untuk membayar balik hutang rumah tersebut kepada kerajaan. Semua kemudahan seperti jalan raya, bekalan api elektrik dan air bersih disediakan oleh kerajaan. Rancangan perumahan perpindahan ini didirikan satu tingkat sahaja dengan berdindingkan kayu. Kemudian barangsiapa yang mempunyai kemampuan boleh berbuat demikian dengan menambah di bawah rumah.

rencana003 211115 jaya setia Menyelusuri sejarah Kampung Jaya Bakti  Jaya Setia

KETUA KAMPUNG Jaya Bakti dan Kampung Jaya Setia, 

Awang Haji Nordin bin Haji Awang Bakar, yang juga selaku Pemangku Ketua Kampung Burong Pingai Berakas.

Allahyarham Awang Haji Ibrahim bin Haji Abdul Rahman pula menjelaskan, keluarganya berpindah ke Kampung Jaya Setia pada 10 September 1965. Di sini sambil memotong getah di kawasan Berakas Estate sebagai pendapatan sampingan untuk membayar balik hutang dengan rumah beliau. Sebenarnya Kampung Jaya Setia adalah Skim Perpindahan Perumahan Kerajaan bagi penduduk Kampong Ayer yang berpindah ke darat yang terdiri dari Kampung Tamoi, Kampung Saba, Kampung Pandai Besi dan Kampung Sungai Kebun. Rumah-rumah di sini dibina cuma setingkat sahaja terdiri sebanyak 50 buah rumah yang berdindingkan papan dan keluasan tanah tiga suku ekar untuk bercucuk tanam bagi menampung keperluan harian.

Allahyarham Dayang Hajah Damit binti Lakim pula berkata, pada mulanya kawasan Kampung Jaya Setia hanyalah hutan dan merupakan pulau getah. Semasa pengkisah berpindah ke kampung tersebut kemudahan seperti bekalan air bersih dan bekalan api elektrik sudah disediakan oleh kerajaan dan hanya terdapat dua tiga buah rumah sahaja ketika itu.

rencana005 211115 jaya setia Menyelusuri sejarah Kampung Jaya Bakti  Jaya Setia

SEORANG penduduk, Awang Haji Abdul

Rahim menyatakan, Berakas Estate sudah tinggal kenangan.

Kebanyakan penduduknya berasal dari Kampong Ayer seperti dari Kampung Pengiran Kerma Indera Lama, Kampung Pengiran Bendahara Lama, dan Kampung Saba. Kebanyakan penduduk masa itu berkebun ubi kayu dan hasilnya dijual kepada penduduk kampung dengan pendapatan lebih kurang BND30 sehari.

SEJARAH KAMPUNG BURONG PINGAI BERAKAS

Allahyarham Awang Haji Metali bin Abdullah berkata, Kampung Burong Pingai Berakas ialah susulan daripada Kampung Perpindahan Bunut yang diilhamkan oleh dua adik-beradik, iaitu Allahyarham Begawan Mudim Dato Seri Setia Haji Awang Adanan bin Pehin Datu Imam Haji Awang Mokti dan Allahyarham Haji Awang Mohd. Yusuf bin Pehin Datu Imam Haji Awang Mokti yang ketika itu menetap di Kampung Burong Pingai Ayer. Dua adik-beradik yang menjadi pengasas dan perancang perpindahan ini telah berjaya mendapatkan tapak perumahan yang menampung 40 keluarga. Tapak perumahan ini terletak di pinggir sungai yang dijadikan sebagai alat penghubung utama pada masa itu. Dalam rancangan perpindahan ini setiap keluarga hanya diperuntukkan setengah ekar dan wang sagu hati sebanyak BND350 untuk perbelanjaan pengangkutan peralatan sementara peruntukan untuk pembinaan rumah adalah biayai peserta rancangan.

rencana004 211115 jaya setia Menyelusuri sejarah Kampung Jaya Bakti  Jaya Setia

MASJID Sufri Bolkiah Perpindahan Berakas.

Hampir semua penduduk yang menyertai rancangan ini merupakan satu keluarga berasal dari Kampung Burong Pingai Ayer telah bersetuju untuk mengekalkan nama kampung 'Kampung Burong Pingai' sebagai nama kampung baharu mereka. Hanya dibezakan dengan perkataan 'Ayer' dan 'Berakas' sahaja. Rumah pertama dibina di kampung tersebut ialah rumah Allahyarham Begawan Mudim Dato Seri Setia Awang Adanan. Seterusnya pada tahun 1953, rumah Tuan Haji Ghafar bin Abdul Hai pula telah dibina di kampung tersebut.

PRODUK KAMPUNG

Majlis Perundingan Kampung (MPK) ini telah mengenal pasti beberapa projek yang dikenal pasti berpotensi untuk dijadikan Satu Kampung Satu Produk (1K1P), antaranya ialah produk daripada kelapa, pertukangan besi / stainless steel (beberapa belia telah menjalani kursus dalam kerja-kerja stainless steel pada Jun 2013) dan bertani secara fertigasi.

Tumpuan telah diberikan kepada pertanian fertigasi di mana tapak projek telah pun dikenal pasti, iaitu tapak lama pasar. Beberapa orang penduduk yang terdiri dari ahli MPK dan para belia telah pun menjalani pertanian fertigasi ini.

AKTIVITI

Kampung-kampung di bawah pentadbiran Awang Haji Nordin ini juga aktif dalam mengendalikan pelbagai aktiviti.

Misalnya pada 4 Jun 2015, kampung-kampung ini dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara dan Jabatan Penjara telah mengendalikan Ekspo Jualan 1K1P, dan Hasil Kraf Tangan, Pertanian serta Pameran Jabatan Penjara berlangsung selama empat hari bemula 4 hingga 7 Jun 2015 di ruang legar, Pusat Membeli-Belah Times Square. Ekspo tersebut merupakan anjuran Perundingan Mukim Berakas 'A'. Pelbagai produk ditampilkan seperti hasil kraf tangan, pertanian dan makanan-makanan kering.

rencana006 211115 jaya setia Menyelusuri sejarah Kampung Jaya Bakti  Jaya Setia

PARA belia ketika menjalani kursus stainless steel.

rencana007 211115 jaya setia Menyelusuri sejarah Kampung Jaya Bakti  Jaya Setia

 BERTANI secara fertigasi.

Ekspo ini bertujuan untuk mengetengahkan dan memperlihatkan kepada masyarakat hasil kerja tangan penghuni-penghuni Penjara Lelaki dan Penjara Wanita yang selama ini mungkin kurang diketahui oleh masyarakat umum, di samping bagi mendukung penghasilan produk mukim dan kampung dan seterusnya membuka peluang perniagaan kepada penduduk-penduduk kampung yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Ke arah sama-sama memupuk semangat patriotik dan menanamkan sifat kecintaan terhadap Negara Brunei Darussalam, MPK Jaya Setia / Jaya Bakti dan Burong Pingai Berakas juga tidak ketinggalan untuk mengadakan Upacara Menaikkan Bendera Negara sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-30 tahun pada 9 Februari 2014.

KESELAMATAN

Bagi memastikan keselamatan kampung sentiasa selamat untuk didiami, satu rondaan di kawasan di bawah jagaan Awang Haji Nordin telah diadakan bagi memantau kawasan hotspot pada hari Sabtu, 24 Oktober 2015 bermula jam 8.30 malam. Taklimat situasi jenayah dan keselamatan yang sentiasa dipantau di kampung itu telah diadakan di rumah Ketua Kampung Jaya Bakti / Jaya Setia / Burong Pingai Berakas, Awang Haji Nordin bin Haji Awang Bakar. Ketika itu rondaan melibatkan seramai tujuh orang ahli Pengawasan Kejiranan kampung itu dan anggota Balai Polis Berakas.

Attachments