Manage PermissionsManage Permissions

Taman peranginan Nak Pulau Kampung Bukit Udal

13/02/2016

Oleh: Noriah Haji Abdul Hamid dan Norhanizah Mohd. Said / Foto : Haji Masmaleh Haji Mohd. Ali



LOGO KNK 2016


KAMPUNG Bukit Udal adalah salah sebuah kampung di dalam tadahan Mukim Tanjong Maya, Daerah Tutong yang ditadbir oleh Awang Johno bin Perak sebagai Ketua Kampung.

Keramaian penduduk di kampung ini kira-kira 1,132 orang yang terdiri daripada pelbagai bangsa seperti Melayu, Cina, Iban dan lain-lain lagi. Jumlah mereka yang menganut agama Islam seramai 245 orang dan selebihnya menganut agama-agama lain.

Kampung Bukit Udal mempunyai keluasan kira-kira 13 kilometer persegi. Kebanyakan penduduknya bekerja di sektor kerajaan dan swasta, di samping menjalankan perusahaan sendiri.

Kampung ini seperti mana kampung-kampung lain juga tidak ketinggalan dari mempunyai infrastruktur dan prasarana yang disediakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seperti kemudahan jalan raya, bekalan api elektrik, bekalan air bersih, masjid, sekolah, balai raya dan lain-lain lagi.

Sekretari Pelancongan dan Kebudayaan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bukit Udal, Awang Benson bin Tunggang telah menceritakan asal usul Kampung Bukit Udal. Menurut beliau, beribu tahun lalu, kawasan kampung tersebut mengalami satu tragedi yang dipanggil 'Labor'. 'Labor' membawa maksud hujan lebat yang turun berbulan-bulan lamanya dan istilah yang dipakai pada masa kini membawa maksud kejadian Tsunami. Kejadian ini telah memberikan impak yang buruk bukan sahaja kepada penduduk kampung malahan telah membinasakan tanam-tanaman dan juga binatang banyak yang mati. Penduduk kampung terpaksa berpindah ke atas bukit dengan membawa bersama binatang ternakan mereka yang masih hidup.

RENCAN SABTU 13022016 01 KNK Taman peranginan  Nak Pulau Kampung Bukit Udal

RUMAH tradisi yang dibina di tengah tasik kecil, dindingnya diperbuat daripada kulit kayu, sementara atapnya daripada zink dan daun nipah.

Mereka terpaksa tingggal di atas bukit berbulan-bulan lamanya hinggalah bukit tersebut menjadi 'badal' atau gundol. Maka kampung tersebut pun dipanggil Kampung Bukit Badal sehinggalah apabila adanya cadangan untuk menamakan Sekolah Rendah yang dibina di kampung berkenaan, ayah kepada Awang Benson telah memberikan beberapa cadangan nama termasuklah Bukit Udal yang akhirnya telah dipilih sebagai nama kampung tersebut sehingga kini.

TAMAN PERANGINAN NAK PULAU

Dalam menyahut seruan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri melalui Projek Satu Kampung Satu Produk yang antara lain bertujuan untuk menjadikan masyarakat mukim dan kampung lebih kreatif, inovatif, berdikari, berdisiplin dan berdaya tahan di samping dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan maka MPK Bukit Udal telah mengusahakan beberapa produk kampung seperti ekopelancongan dan perusahaan kraf tangan.

Penulis telah berpeluang menyelusuri Banjaran Bukit Kukup untuk sampai ke Taman Peranginan Nak Pulau. Taman peranginan yang begitu artistik ini diusahakan oleh Awang Benson sendiri. Walaupun kawasannya tidak terlalu luas, tetapi sangat indah dan menarik. Kawasannya diliputi oleh pelbagai tumbuh-tumbuhan yang menghijau, pokok renek dan belukar serta tidak ketinggalan kebun buah-buahan.

RENCAN SABTU 13022016 02 KNK Taman peranginan  Nak Pulau Kampung Bukit Udal

TEMPAT tidur juga disediakan di penginapan ini dengan mengekalkan identiti tradisional.

RENCAN SABTU 13022016 03 KNK Taman peranginan  Nak Pulau Kampung Bukit Udal

TEMPAT makan dan dapur untuk memasak disediakan untuk kemudahan pengunjung.

Terdapat sebuah rumah tradisi yang dibina di tengah tasik kecil. Dindingnya diperbuat daripada kulit kayu sementara atapnya daripada zink dan daun nipah. Menurut Awang Benson, rumah tradisi tersebut adalah hampir sama dengan rumah orang tua beliau dahulu. Menurut beliau lagi, tasik kecil ini dahulunya adalah sungai kecil sahaja. Atas usaha penduduk kampung untuk memperindahkan lagi kawasan peranginan berkenaan mereka telah menjadikannya sebuah pulau kecil. Sebuah jambatan yang diperbuat dari batang pokok kayu dan papan kecil telah dibina untuk memudahkan para pengunjung menyeberangi tasik kecil menuju ke rumah peranginan.

Taman Nak Pulau terletak kira-kira 62km dari Bandar Seri Begawan dan mengambil masa lebih kurang satu jam perjalanan. Taman tersebut telah diterokai kira-kira 16 tahun yang lalu dan berkonsepkan kehijauan flora dan fauna sejajar dengan misi MPK untuk mengekalkannya sebagai taman hutan semula jadi.

Taman peranginan ini amat bersesuaian sebagai tempat untuk beriadah bersama keluarga. Para pengunjung dapat menghirup udara kehijauan yang segar dan alami. Orang ramai dialu-alukan untuk berkunjung dan melakukan sebarang kegiatan kerja atau aktiviti-aktiviti kekeluargaan.

RENCAN SABTU 13022016 04 KNK Taman peranginan  Nak Pulau Kampung Bukit Udal

ANTARA pelancong luar negara yang pernah datang ke sini untuk membuat kajian.

Taman peranginan ini menyediakan prasarana seperti bilik air, tandas, tempat tidur dan dapur untuk memasak dengan mengekalkan identiti tradisional. Menurut Awang Benson mereka juga menyediakan pakej penginapan termasuk penyediaan jamuan makan. Usaha yang gigih ini menyumbang pada kemajuan Kampung Bukit Udal dalam mempromosikan ekopelancongan bukan sahaja kepada penduduk tempatan malahan juga pelancong-pelancong luar negara.

Jelas terbukti melihat pada gambar-gambar yang menghiasi dinding rumah yang memperlihatkan para pelancong dari negara Barat seperti dari Australia, Jerman, Perancis dan banyak lagi yang datang untuk membuat kajian.

Bagi orang ramai yang berhasrat untuk berkunjung ke Taman Peranginan Nak Pulau, Bukit Kukub bolehlah menghubungi Sekretari Pelancongan dan Kebudayaan, MPK Bukit Udal.

Attachments