Oleh : Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi
PENGENALAN
SEKTOR
Penggunaan Awam adalah salah satu sektor yang amat penting dalam
menjaga kesejahteraan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat dari segi
penyediaan infrastruktur asas seperti bekalan tenaga elektrik, bekalan
air, rawatan kumbahan, sistem pembetungan dan pembaikan sistem saliran
bagi pengawalan banjir. Ini adalah selaras dengan matlamat Wawasan
Brunei 2035 ke arah mencapai taraf kehidupan yang tinggi iaitu menjadi
10 negara teratas di dunia menurut indeks pembangunan manusia UNDP.
PROJEK RKN10
Melalui
Rancangan Kemajuan Negara Ke-10 (RKN10), kerajaan telah memperuntukkan
sejumlah BND1,409 juta bagi melaksanakan berbagai-bagai projek di bawah
sektor ini yang mana sejumlah BND739 juta telah dibelanjakan bagi
membiayai pelaksanaan 102 projek. Sektor ini mengandungi sub-sub sektor
bekalan elektrik, kebersihan, bekalan air dan pengaliran air.
BEKALAN ELEKTRIK
Perkhidmatan
elektrik di negara ini telah melalui arus perkembangan mengikut
peredaran masa selaras dengan peningkatan jumlah penduduk, perkembangan
pembangunan dan kemajuan teknologi. Pihak kerajaan telah dan akan
berusaha bagi memenuhi permintaan yang kian meningkat dan memastikan
bekalan elektrik yang mencukupi, berkualiti dan reliable sejajar dengan
ketiga-tiga komponen utama dalam pembekalan elektrik iaitu penjanaan,
penghantaran dan pembahagian.

BELINGUS Power Station 3.
Pada
tahun 2014, penggunaan tenaga elektrik di negara ini adalah sebanyak
3,765,523,941 kWh dengan peningkatan 5.98 peratus berbanding
3,553,037,255 kWh pada tahun 2013. Melalui RKN10, Kerajaan Kebawah Duli
Yang Maha Mulia telah melaksanakan projek-projek seperti memperbaharui
dan menaik taraf jana kuasa, pengukuhan talian kawat atas voltan tinggi,
penambahan rangkaian pembahagian talian voltan rendah, pengurusan aset /
inventori rangkaian bekalan tenaga elektrik termasuk pengurusan kawalan
rangkaian, pengawasan kawalan dan sistem perolehan data (SCADA) dan
pemasangan lampu-lampu awam. Sebanyak BND444 juta telah pun dibelanjakan
daripada BND765 juta yang telah diperuntukkan di bawah sub-sektor ini
bagi membiayai 35 projek.
Projek
Memperbaharui dan Menaik Taraf Jana Kuasa - Belingus, Daerah Temburong
merupakan salah satu projek di bawah sub-sektor ini yang telah siap
dilaksanakan pada Mac 2013 dengan harga BND9.4 juta khusus bagi
mengukuhkan bekalan tenaga elektrik di Daerah Temburong.
Pelaksanaan
beberapa projek elektrik di seluruh negara dihasratkan akan dapat
membantu memenuhi keperluan bekalan tenaga elektrik bagi jangka masa
panjang dan memastikan mutu bekalan tenaga elektrik yang berkualiti dan
memuaskan.
KEBERSIHAN
Selain
daripada itu, kerajaan juga memberi perhatian kepada penyediaan sistem
kebersihan atau pembetungan yang teratur dengan meningkatkan taraf loji
rawatan kumbahan yang sedia ada dan meluaskan lagi pemberian
perkhidmatan pembetungan di negara ini. Dalam RKN10, sebanyak BND75 juta
telah pun dibelanjakan daripada BND110 juta yang telah diperuntukkan di
bawah sub-sektor ini bagi membiayai 21 projek.

SEWAGE Pumping Station Telanai.
Di
antara projek pembetungan yang telah siap dilaksanakan ialah Projek
Skim Pembetungan bagi Jalan Manggis Satu dan Jalan Manggis Dua. Projek
yang menelan belanja sebanyak BND5.4 juta ini telah siap dilaksanakan
pada Mac 2015. Manakala Projek Skim Pembetungan bagi Kampung Telanai,
Madewa, Bunut dan Bengkurong yang berharga BND4.8 juta telah siap pada
Oktober 2015. Projek Skim Pembetungan Kampung Berangan, Kianggeh dan
Subok pula siap dilaksanakan pada pertengahan Februari 2016 dengan harga
sebanyak BND7.7 juta.
Pelaksanaan
projek-projek tersebut adalah bagi membolehkan penyambungan dibuat ke
lurang-lurang (mainhole) kerajaan yang mana nanti akan disalurkan ke
loji rawatan kumbahan yang berdekatan. Pelaksanaan projek seperti ini
juga adalah bagi mengurangkan pencemaran dan seterusnya meningkatkan
mutu alam sekitar dan taraf kesihatan penduduk Negara Brunei Darussalam.
BEKALAN AIR
Manakala
bagi bekalan air, kerajaan akan terus melaksanakan usaha-usaha bagi
memastikan bekalan air bersih dan mencukupi akan dapat dibekalkan
seiring dengan meningkatnya aktiviti pembangunan seperti pertanian,
industri dan perumahan. Sebanyak BND233 juta telah pun dibelanjakan
daripada BND363 juta yang telah diperuntukan di bawah sub-sektor ini
bagi membiayai 16 projek seperti pembinaan tangki-tangki air, membekal
paip-paip serta penapisan air di seluruh negara.
Projek
Menaik Taraf Ke Atas Loji Rawatan Air Mengkubau adalah salah satu
projek yang telah siap dilaksanakan dalam RKN10 yang memakan belanja
sebanyak BND18 juta. Projek ini antara lainnya, bertujuan untuk
meningkatkan kapasiti pengeluaran air bersih dari 27 juta liter kepada
37 juta liter sehari yang diperlukan bagi menampung keperluan orang awam
di kawasan tersebut khususnya bagi skim perumahan 4,000 buah di Kampung
Mengkubau.
Satu
lagi Projek Loji Rawatan Air iaitu Projek Membina Loji Rawatan Air,
Stesen Pam Air Mentah, Tangki Simpanan Air dan Pam Air Bersih – Bukit
Barun Peringkat 7 telah siap dilaksanakan pada Julai 2015 dengan harga
sebanyak BND27.8 juta. Loji rawatan ini membekalkan air bersih sebanyak
60 juta liter sehari ke Daerah Brunei Muara yang memerlukan sebanyak
lebih kurang 480 juta liter sehari.

LOJI Rawatan Air Mengkubau.
Pembekalan
air bersih yang berterusan dan sistematik melalui pelaksanaan
projek-projek RKN dapat memberikan keselesaan kepada pengguna untuk
menjalankan aktiviti seharian mereka dan ia juga adalah sumber yang
paling asasi yang mesti dilihat secara serius kerana pembekalan air
dapat membantu pembangunan dan ekonomi negara secara tidak langsung.
PENGALIRAN AIR
Kerajaan
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga mengambil berat akan isu banjir yang
sering melanda negara terutama di kawasan-kawasan yang rendah dengan
melaksanakan projek-projek pencegahan banjir dan kerja-kerja pengaliran
sungai. Dalam RKN10, sebanyak BND88 juta telah pun dibelanjakan daripada
BND171 juta yang telah diperuntukkan di bawah sub-sektor ini bagi
membiayai 30 projek.
Projek
Kerja-Kerja Saliran Sungai Kedayan Fasa 5 adalah salah satu projek
saliran yang telah siap dalam RKN10. Projek yang siappada November 2014
dengan harga sebanyak BND10.8 juta ini adalah untuk mengawal kejadian
banjir dengan memperbaiki pengaliran Sungai Kedayan, di samping
memperbaiki tebing sungai yang berdekatan dengan kawasan Kampung
Menglait dan juga Kampung Kiarong.
Pelaksanakan
projek-projek pengaliran air bukan sahaja bertujuan bagi pengawalan
banjir malahan ia juga bagi mewujudkan persekitaran yang lebih baik di
samping meningkatkan kapasiti aliran. Selain daripada itu, ia juga
diharap akan dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai
kepentingan alam sekitar dan memberikan keselesaan kepada orang ramai
dari terus terjejas oleh kejadian banjir.
PENUTUP
Sektor
Penggunaan Awam ini memainkan peranan penting dalam perkembangan
sosio-ekonomi negara kerana ia menyumbang kepada peningkatan kualiti
hidup dan kesejahteraan penduduk dan mewujudkan persekitaran yang bersih
dan sihat. Ini selaras dengan matlamat Wawasan Brunei untuk mencapai
kehidupan rakyat yang berkualiti tinggi menjelang tahun 2035. Walau
bagaimanapun, rakyat dan penduduk negara ini adalah diseru untuk
mengamalkan sikap berjimat cermat dalam penggunaan bekalan tenaga
elektrik dan juga air bagi memastikan ianya berdayatahan bagi
kepentingan generasi akan datang. Penjagaan alam sekitar dari pencemaran
juga adalah tanggungjawab semua pihak untuk tidak sesuka hati membuang
sisa kumbahan terus ke sungai.