SUMBANGAN PELADANG, PETANI, PENTERNAK, NELAYAN DIHARGAI

02/11/2016

NEGARA Brunei Darussalam sememangnya amat komited dalam sama-sama berperanan untuk meningkatkan produktiviti pertanian baik bagi negara sendiri mahupun di rantau ASEAN. Bagi tujuan itu pembangunan pertanian, sektor penternakan adalah faktor penting bagi perbekalan mapan pemakanan negara, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi global yang meruncing ketika ini.

Dalam hal ini, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Perindustrian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KPSSUP) adalah autoriti yang bertanggungjawab ke atas pembangunan pertanian dan pengeluaran agrimakanan negara dan juga menjadi tunggak utama dalam perekonomian negara agar tidak hanya bergantung kepada sumber minyak dan gas sahaja.

M
emandangkan sumber pertanian dan agrimakanan amat penting untuk negara, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah mengisytiharkan 1 November setiap tahun sebagai Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan. Pengiktiraf dan mengenang jasa peranan mereka selaku penjana makanan bagi negara ini adalah sebagai penghargaan atas sumbangan yang diberikan dalam mengembang majukan sektor pertanian, agrimakanan serta untuk kesejahteraan penduduk negara ini.

Pengisyitiharan tersebut telah dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika baginda berkenan merasmikan Ekspo Pertanian dan Agrimakanan bertempat di Taman Agroteknologi Brunei, Kampung Tungku pada 19 November 2009.

Dengan adanya Hari Peladang Petani, Penternak dan Nelayan ini, sudah setentunya akan menyuntik semangat dan menguatkan azam mereka untuk lebih bergiat dalam mengeluarkan sumber pemakanan negara, demi masyarakat dan kemakmuran negara.

Sebagaimana yang dilaporkan bahawa dari tahun ke tahun hasil pengeluaran pertanian, perikanan dan agrimakanan berkembang dengan baik walaupun pencapaian sebahagian sektor belum mencapai ke tahap sasaran yang dihasratkan dan setakat ini telah dilaporkan mencapai hampir sara diri.

Dengan yang demikian, kita selaku rakyat dan penduduk negara ini patut bersyukur kerana telah dikurniakan nikmat dengan bumi yang subur, yang sesuai untuk bercucuk tanam, di samping menikmati suasana dan keadaan yang aman, terlepas dari pelbagai musibah berat seperti bencana-bencana alam yang merosakkan bumi dan harta benda.

Sementara dengan bertani dan bercucuk tanam bukanlah satu kerja lekeh, tetapi amat dipuji dan digalakkan oleh agama, kerana manfaatnya bukan untuk individu tertentu saja, malahan bagi sekalian makhluk Allah Ta'ala, sebagaimana ada hadis yang bermaksud: ''Bahawa seorang Muslim yang bertanam itu, kemudian hasil tanamannya dimakan oleh manusia, binatang dan burung, semuanya itu akan jadi sedekah baginya sehingga hari kiamat.'' Sebagaimana yang pernah dititahkan oleh Kebawah DYMM pada Ekspo Pertanian dan Agrimakanan pada 19 November 2009.

Bercucuk tanam itu suatu pekerjaan yang mulia dan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh, ia bukan saja mampu untuk menjamin pemakanan untuk rakyat dan penduduk negara ini, malahan juga boleh membantu mengatasi pelbagai kesulitan, termasuk mengurangkan pengangguran.

A
pa yang penting, para petani, peladang, penternak dan nelayan serta pengusaha pertanian, digalakkan untuk menyertai usaha-usaha penghijauan bumi, kerana tanpa penglibatan mereka, usaha-usaha kerajaan akan kurang berjaya dan mereka perlu terus memanafaatkan sepenuhnya kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dengan sebaiknya.

Dengan yang demikian, setinggi-tinggi penghargaan kepada para peladang, petani, penternak dan nelayan di negara ini atas semangat, kegigihan serta ketekunan mereka untuk terus mengusahakan dan memajukan industri pertanian, penternakan dan perikanan negara. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala memberkati dan mengurniakan taufik dan hidayahnya atas usaha mereka itu. 'SELAMAT MENYAMBUT HARI PELADANG, PETANI, PENTERNAK DAN NELAYAN'.

Attachments