Manage PermissionsManage Permissions

Kota Ranger FC berpesta gol 6 - 0



Berita dan Foto : Ak Syi'aruddin Pg Dauddin


TUTONG, Rabu, 26 April. - Bekas penyerang pasukan Brunei DPMM FC, Awang Md. Abu Bakar bin Mahari menjadi wira bagi pasukan Kota Ranger FC setelah berjaya menjaringkan empat gol semasa menentang pasukan Menglait FC yang berkesudahan 6 - 0 pada Perlawanan Liga Super Brunei DST 2017 yang berlangsung di Padang Kompleks Sukan Tutong, di sini.

Kemenangan bergaya Kota Ranger FC juga turut disumbangkan oleh jaringan daripada Awang Md. Syazwi bin Awang Mohin dan Awang Md. Fadzil Ismail bin Hamdani.

Kota Ranger FC membuka jaringan seawal minit ke-2 melalui jaringan oleh Awang Md. Syazwi dan seterusnya menggandakan jaringan pada minit ke-19 menerusi Awang Md. Abu Bakar melalui tendangan 'volley' kaki kiri.

Ia bermula apabila pemain dari sayap kanan Kota Ranger FC membuat umpanan tepat kepada Awang Md. Fadzil Ismail yang kemudiannya menanduk bola ke arah Awang Md. Abu Bakar untuk menjaringkan gol.

Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan berbalas serangan dengan percubaan Menglait FC hampir membuahkan hasil pada minit ke-47 setelah tandukan daripada penyerang pasukan tersebut terkena palang.

Namun nasib lebih menyebelahi Kota Ranger FC apabila Awang Md. Abu Bakar sekali berjaya menjaringkan melalui umpanan cantik dari sayap kanan pada minit ke-50 dan sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-69 untuk melengkapkan 'hat-trick'nya pada perlawanan tersebut.

Awang Md. Abu Bakar terus menunjukkan taringnya setelah berjaya menjaringkan pada minit ke-83 menerusi sepakan jauh dari lorong kanan.

Pertahanan kiri pasukan Menglait FC terus dieksploitasi oleh Kota Ranger FC, apabila Awang Md. Fadzil Ismail menjaringkan gol dengan persembahan solo setelah melepasi dua pemain pertahanan pasukan lawan pada minit ke-87.

Awang Md. Fadzil Ismail ketika ditemui oleh Pelita Brunei menjelaskan, beliau berhasrat untuk menjadi penjaring terbanyak bagi Liga Super Brunei DST 2017 setelah berjaya menyumbatkan sebanyak enam gol pada musim lalu dan seterusnya berhajat untuk memenangi liga tersebut musim ini.
Close