Manage PermissionsManage Permissions

Kasuka FC berpesta gol



Berita dan Foto : Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin


TUTONG, Selasa, 25 April. - Pasukan Kasuka FC berpesta gol setelah beraksi cemerlang dan berjaya membelasah pasukan Jerudong FC 5 - 0 pada Perlawanan Liga Super Brunei DST 2017 yang berlangsung di Padang Kompleks Sukan Tutong, di sini.

Pemain Pasukan Kasuka FC jersi 17, Awang Md. Esmendy bin Ibrahim menunjukkan taringnya setelah menjaringkan gol 'hat-trick' sebelum Awang Md. Hafis bin Mahari dan Awang Md. Shahrin bin Zaini masing-masing menyumbangkan sebiji gol bagi pasukan Kasuka FC.

Perlawanan bermula dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan di separuh masa pertama, namun Pasukan Kasuka FC berjaya menjaringkan gol melalui Awang Md. Shahrin susulan umpanan cantik dari sayap kanan Pasukan Kasuka FC pada minit ke-9.

Pasukan Kasuka FC terus lagi menggandakan jaringannya pada minit-37 melalui serangan balas pantas yang disudahi dengan cantik oleh Awang Md. Esmendy, selang enam minit kemudian Awang Md. Esmendy sekali lagi menjaringkan gol dengan tandukan melambung jarak dekat.

Pada babak kedua, pasukan Kasuka FC terus mengawal permainan setelah berjaya mengeksploitasikan lubuk di sayap kanan pasukan Jerudong FC dengan Awang Md. Shahrin menjaringkan gol pada minit ke-46, manakala Awang Md. Esmendy pula melengkapkan 'hat-trick'nya dengan sepakan jauh pada minit ke-63.

Perlawanan liga tersebut akan diteruskan lagi dengan perlawanan di antara pasukan Kota Ranger FC menentang pasukan Menglait FC di padang yang sama esok.
Close