Manage PermissionsManage Permissions

Awang Haji Abdul Rahman, Penghulu Mukim Bangar baru



Oleh: Hezlinawati Haji Abdul Karim / Foto : Ah Chua


TIMBALAN Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof  menyampaikan Sijil Lantikan Penghulu Mukim Bangar kepada Awang Haji Abdul Rahman bin Merusin.


TEMBURONG, Jumaat, 15 Mei. - Mukim Bangar kini berada di bawah kepimpinan akar umbi yang baru dengan berlangsungnya Majlis Penyampaian Sijil Lantikan Penghulu Mukim Bangar.

Penyampaian Sijil Lantikan Penghulu Mukim Bangar disempurnakan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof kepada Awang Haji Abdul Rahman bin Merusin.

Pada majlis yang berlangsung di kediaman Awang Haji Abdul Rahman di Kampung Ujong Jalan, Mukim Bangar itu, Yang Dimuliakan Pehin juga merasmikan Papan Tanda Penghulu Mukim Bangar.

Penghulu Mukim Bangar, Awang Haji Abdul Rahman juga membacakan Ikrar dan menandatangani Ikrar Penghulu Mukim Bangar yang disaksikan oleh Pegawai Daerah Temburong, Awang Haji Abdul Hamid bin Dato Paduka Haji Abdullah dan wakil Pegawai Kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Awang Haji Abdul Rahman, 64, sebelum ini pernah bertugas sebagai Guru Sekolah-Sekolah Terlatih (1976 – 1995) dan sebagai Nazir Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan (1996 – 2006).

Beliau kini secara rasmi menjawat jawatan Penghulu Mukim Bangar yang berada di kedudukan strategik dalam Daerah Temburong di mana terletaknya Pekan Bangar sebagai pusat pentadbiran daerah dan berfungsi sebagai persinggahan dan pusat perhubungan.

Mukim Bangar mempunyai 19 buah kampung di bawah pengawasan Penghulu Mukim Bangar dengan empat orang iaitu Ketua Kampung Menengah, Ketua Kampung Batang Tuau, Ketua Kampung Puni dan Ujong Jalan dan ketua Kampung Belingos.

Majlis turut dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Ahad; Setiausaha-setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap KHEDN.

Close