Manage PermissionsManage Permissions

Wawasan Brunei dibarigakan bagi penghulu dan ketua kampung



Berita & Foto : Ampuan Roza Amalyati Ampuan Hussain


TEMBURONG, Selasa, 11 April. - Dalam usaha untuk membarigakan maklumat asas dan peranan masyarakat umum bagi menyokong perlaksanaan Wawasan Brunei 2035, Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Sekretariat Tetap Wawasan Brunei 2035 dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) telah mengadakan Sesi Pembarigaan Wawasan Brunei 2035 kepada Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung bagi Daerah Temburong hari ini.

Hadir pada majlis yang berlangsung di Dewan Muafakat, Bangunan Jabatan-Jabatan Kerajaan, Pekan Bangar ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu yang juga Penghulu Mukim Bokok, Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohammad Amir Hairil bin Awang Haji Mahmud; Pemangku Timbalan Pengarah, Sekretariat Tetap Wawasan Brunei 2035 di JPM, Dayang Dr. Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah; Pegawai-Pegawai Kanan dari Jabatan Daerah Temburong serta Sekretariat Tetap Wawasan Brunei 2035, serta seramai 19 Penghulu Mukim dan Ketua Kampung dari Daerah Temburong. 

Pemangku Timbalan Pengarah, Sekretariat Tetap Wawasan Brunei 2035 di JPM, Dayang Dr. Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah dalam ucapannya menjelaskan, taklimat yang disampaikan adalah salah satu daripada usaha yang telah dimandatkan oleh Majlis Tertinggi Wawasan Brunei bagi memastikan Wawasan Brunei 2035 dibarigakan kepada seluruh rakyat Negara Brunei Darussalam.

“Mengimbas kembali titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sewaktu Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-33 pada tahun ini, baginda telah bertitah akan kepentingan tidak membiarkan wawasan negara sebagai satu retorik intelektual semata-mata, yang cuma indah dalam sebutan. Baginda juga bertitah akan keperluan bagi melaksanakan segala tindakan dengan penuh komitmen dan bersungguh-sungguh dengan bertindak lebih tangkas bagi menghasilkan impak yang tinggi yang boleh menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara,” jelasnya.

Tambah beliau, Wawasan Brunei 2035 adalah merupakan visi dan aspirasi jangka masa panjang Negara Brunei Darussalam. Kejayaan Wawasan Brunei 2035 bergantung kepada kerja keras dan kerjasama semua pihak yang bertindak bersatu sebagai satu senegara atau whole of nation. Menjayakan Wawasan Brunei ini bukanlah tanggungjawab tunggal kepada kerajaan atau sesebuah kementerian atau jabatan, ia adalah tanggungjawab kita semua bersama.

Semua rakyat jelas beliau mempunyai peranan masing-masing untuk mencapai Wawasan 2035 dan perlu melengkapkan diri dengan maklumat. Di sinilah kepentingan peranan Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung sebagai pemimpin akar umbi untuk membantu menyebarkan keperluan ini kepada pelusuk masyarakat. 

Majlis diteruskan dengan taklimat Wawasan Brunei 2035 yang disampaikan oleh Awang Aziman bin Haji Awang Nasir dari Sekretariat Tetap Wawasan Brunei 2035, yang antara lain mengongsikan informasi berkaitan Wawasan Brunei 2035 termasuk dari aspek urus tadbir, kerangka kerja wawasan dan usaha di peringkat perlaksanaan.

Sesi tersebut bermatlamat membarigakan maklumat-maklumat asas dan peranan masyarakat umum dalam menyokong perlaksanaan Wawasan Brunei 2035. Usaha ini adalah bagi memastikan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam boleh menjiwai Wawasan Brunei 2035 dengan melahirkan rasa tanggungjawab bagi sama-sama merealisasikan Wawasan Brunei.

Close