Manage PermissionsManage Permissions

Sambutan perayaan bagi Daerah Temburong dibincangkan



Berita dan Foto : Ampuan Roza Amalyati Ampuan Hussain


TEMBURONG, Isnin, 10 April. - Mesyuarat Pertama Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-71 bagi Daerah Temburong bagi Tahun 2017, antara lain membincangkan persediaan acara-acara rasmi sempena sambutan perayaan tersebut.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohammad Amir Hairil bin Awang Haji Mahmud, berlangsung di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, di sini.

Mesyuarat dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan Doa Selamat oleh Pemangku Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Awang Haji Kamarulzaman bin Kamis, diikuti ucapan ringkas daripada pengerusi.

Antara agenda mesyuarat ialah meneliti dan mensahkan kunci kira-kira Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-70 Tahun 2016 bagi Daerah Temburong.

Di samping itu, mesyuarat turut melantik Ahli-Ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi dan Pengerusi-Pengerusi Bahagian serta Pengerusi-Pengerusi Acara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-71 Tahun 2017 Bagi Daerah Temburong serta membincangkan format Persembahan Khas dan mendengarkan laporan ringkas daripada Pengerusi-Pengerusi Bahagian serta hal-hal lain yang berbangkit.

Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu, Ketua-Ketua Cawangan Daerah Temburong, Penghulu-Penghulu Mukim, Ahli-Ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi serta Pengerusi-Pengerusi Bahagian sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-70 Tahun bagi tahun lalu.
Close