Manage PermissionsManage Permissions

Berkenan berangkat mengalu-alukan keberangkatan tiba Kebawah DYMM Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud



Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Masri Osman, Muhammad Asri Haji Awang Abas


BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 4 Mac. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) bagi mengalu-alukan keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud, Penjaga Dua Masjid Suci dan Raja Negara Arab Saudi yang dalam rangka Lawatan Negara ke negara ini selama satu hari.

Pesawat khas yang membawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan rombongan selamat mendarat di LTAB pada petang tadi. Sebaik sahaja turun dari pesawat khas, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dialu-alukan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Berangkat sama di LTAB bagi mengalu-alukan keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan rombongan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku Kerabat Pengiring Diraja.

Turut hadir ialah Menteri di JPM dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim selaku Menteri Pengiring; Menteri di JPM dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng; Menteri Tenaga dan Perindustrian di JPM, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof.

Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud seterusnya melintasi Kawalan Statik terdiri daripada Anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Seterusnya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud berangkat ke Istana Nurul Iman untuk Majlis Sambutan Rasmi Ketibaan dan Barisan Kawalan Kehormatan bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud.

Close