Manage PermissionsManage Permissions

Berkenan menerima kunjungan muhibah Kebawah DYMM Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud



Oleh : Khartini Hamir / Saerah Haji Abd Ghani / Foto : Ariffin Haji Md Noor / Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah / Hamzah Mohiddin / Hernie Suliana Haji Othman / Mohd Sahrizal Haji Mohd Said / Azmah Haji Ahad / Dk Nurhafilah Pg Osman


BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 4 Mac. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menerima kunjungan muhibah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud, Penjaga Dua Masjid Suci dan Raja Negara Arab Saudi di Istana Nurul Iman.

Semasa ketibaan di Istana Nurul Iman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud naik ke Pentas Diraja untuk menerima Tabik Hormat Diraja diikuti dengan lagu kebangsaan kedua-dua buah negara dan dua puluh satu (21) das tembakan meriam yang dilepaskan.

Kedua-dua pemimpin seterusnya beredar memeriksa Barisan Kehormatan Diraja yang terdiri daripada Tentera Darat Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud kemudiannya disembahkenalkan kepada ahli-ahli Kerabat Diraja; Pembesar-Pembesar Negara; Menteri-Menteri Kabinet; Timbalan-Timbalan Menteri; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Selepas itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam disembahkenalkan kepada rombongan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud yang terdiri daripada ahli-ahli Kerabat Diraja Arab Saudi, Menteri-Menteri Kabinet dan pegawai-pegawai kanan bertaraf Menteri.

Sejurus selepas itu, Majlis Mengadap diadakan di Cheradi Laila Kenchana.

Berangkat sama ke majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan (KHELNP), serta ahli-ahli Kerabat Diraja yang lain.

Majlis mengadap turut dihadiri oleh ahli-ahli Kerabat Diraja Arab Saudi, Menteri-Menteri Kabinet dan pegawai-pegawai kanan bertaraf Menteri.

Semasa majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mengurniakan bintang kebesaran Negara Brunei Darussalam, Darjah Kerabat Mahkota Brunei (D.K.M.B.) kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud.

Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Selepas majlis mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengadakan Majlis Perjumpaan Dua Hala dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud berlangsung di Cheradi Ratna Kenchana, Istana Nurul Iman.

Berangkat sama menghadiri Majlis Perjumpaan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Semasa majlis perjumpaan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud telah berbincang mengenai isu-isu dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Arab Saudi, serta bertukar-tukar pandangan tentang hal ehwal serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Selepas majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Persantapan Diraja bagi meraikan Lawatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud serta rombongan.

Berangkat sama ke Majlis Persantapan Diraja tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di KHELNP, serta ahli-ahli Kerabat Diraja yang lain.

Selepas Majlis Persantapan Diraja tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bagi mengucapkan selamat berlepas kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Close