Manage PermissionsManage Permissions

Daerah Belait kibarkan bendera kebangsaan



Berita dan Foto : Noraisah Muhammed


KUALA BELAIT, Khamis, 16 Februari 2017. - Salah satu peranan dan tanggungjawab rakyat dan penduduk negara ini ialah mengibarkan bendera kebangsaan di halaman rumah masing-masing sebagai tanda taat setia kepada raja dan negara.

Sehubungan itu, bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-33, upacara Menaikkan Bendera Negara Brunei Darussalam bagi Daerah Belait telah diadakan di Taman Persiaran Cendera Kenangan dan dihadiri oleh Pegawai Daerah Belait, Awang Haji Haris bin Othman.

Majlis dimulakan dengan ketiban peserta konvoi pembawa bendera negara yang diketuai oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Awang Mohammad Abdul Hadi bin Haji Mohammad Syarifuddin.

Peserta konvoi terdiri daripada Ahli-ahli Persatuan Pengembara Daerah Belait, Persatuan Kereta Tahan Lasak Brunei (PKTLB), Kumpulan TTK 4X4 Kuala Belait, Kumpulan XPDC Bermotor Daerah Belait dan Kumpulan Pemilik Skuter Daerah Belait.

Konvoi bermula dari Balai Bomba Sungai Liang bergerak menuju ke Taman Persiaran Cendera Kenangan dengan melalui jalan-jalan utama sebagai cara untuk membarigakan kepada seluruh penduduk Daerah Belait supaya mengibarkan bendera di rumah-rumah kediaman dan syarikat masing-masing.

Rombongan dialu-alukan oleh pembawa bendera yang terdiri daripada Kadet-kadet Polis, Kadet-kadet Tentera dan Kadet-kadet Bomba sekolah-sekolah Daerah Belait di Taman Persiaran Cendera Kenangan.

Sebaik sahaja rombongan tiba, bacaan Surah Al-Fatihah dan bacaan Doa Selamat diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait, Awang Akop bin Haji Lamat.

Seterusnya Pegawai Daerah Belait menyerahkan bendera besar kepada Pasukan Polis Diraja Brunei Cawangan Kuala Belait bagi upacara Menaikkan Bendera untuk dikibarkan diiringi dengan Lagu 'Allah Peliharakan Sultan' dan seterusnya persembahan lagu 'Bendera Negara' daripada penuntut-penuntut Sekolah Menengah Perdana Wazir dan Sekolah Menengah Sayyidina Ali.

Selesai sahaja persembahan, Pegawai Daerah Belait menyerahkan bendera negara kepada Penghulu-Penghulu Mukim di Daerah Belait untuk dikibarkan di Mukim masing-masing dan seterusnya menyerahkan bendera negara kepada wakil peserta Program Belia Cinta Tanah Air.

Hadir pada majlis tersebut, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara bagi Daerah Belait, Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku Penghulu Mukim Liang dan Yang Behormat Awang Hanapi bin Md. Siput selaku Pemangku Penghulu Mukim Labi, ketua-ketua jabatan dan cawangan Daerah Belait, Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung, pengetua-pengetua sekolah Daerah Belait, ketua-ketua syarikat, Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung di Daerah Belait serta Ahli-ahli persatuan.

Close