Manage PermissionsManage Permissions

Promosi keunikan cita rasa masakan Brunei



Oleh: Saerah Haji Abdul Ghani / Foto: Hamzah Mohiddin


BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Februari. - Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong berkata, perlunya membina hubungan yang kukuh antara chef tempatan dan antarabangsa yang terkemuka jika ingin berjaya dan membina industri makanan yang inovatif dan pelbagai.

''Kita juga berhasrat untuk membina dan meningkatkan tahap kakitangan yang berkemahiran dalam industri makanan dan minuman,'' jelas Yang Berhormat semasa melancarkan Minggu Masakan Brunei yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), di sini.

Menurut Yang Berhormat, KSSUP melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan juga akan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi yang berkaitan seperti Majlis Perancangan Tenaga Manusia, institusi-industri pendidikan, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) bagi menyokong para penduduk di Negara Brunei Darussalam yang gemar dalam industri masakan serta memperluaskan lagi pengalaman mereka di luar negara bagi mencapai pengiktirafan bertaraf dunia.

Terdahulu Yang Berhormat menjelaskan, objektif acara ini adalah untuk meraikan Negara Brunei Darussalam dan mewujudkan kesedaran mengenai Masakan Brunei; untuk menggalakkan lebih banyak hotel dan restoran menghidangkan masakan Brunei dengan cara yang lebih menarik; untuk memperbaiki rasa dan meningkatkan mutu hidangan Brunei untuk disediakan sebagai sebahagian daripada makanan yang bercita rasa atau pada majlis yang diadakan serta untuk memberikan pengalaman unik dalam masakan Brunei kepada pengunjung dalam atau luar negara.

Yang Berhormat menambah, kemuncak bagi Minggu Masakan Brunei adalah bagi mempromosi Brunei Bamboo Chicken sebagai makanan asli Brunei yang lazat dengan mempamerkan kepelbagaian masakan Brunei dan mewujudkan kesedaran dalam kemahiran masakan Brunei secara meluas.

''Kami mempunyai 15 peserta hotel dan syarikat restoran yang mengambil bahagian dan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei sebagai rakan kongsi. Kami gembira menyatakan bahawa syarikat penerbangan juga akan menghidangkan Masakan Brunei semasa Hari Kebangsaan dalam Penerbangan Serantau. Ini sangat ketara dalam usaha untuk mempromosikan masakan tempatan dalam memberi peluang pelancong merasai Masakan Brunei, sebelum tiba di negara kita yang indah ini,'' ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya berkata, restoran yang mengambil bahagian mempromosikan hidangannya tersendiri, di mana masakan Brunei dihidangkan secara bufet atau Menu Ala carte.

Semasa Minggu Masakan Brunei ini jelas Yang Berhormat, juga diadakan 'rating program' di mana mereka telah mengenal pasti empat hakim dengan latar belakang yang berbeza serta berpengalaman dalam industri untuk menilai dari segi persembahan, rasa, kreativiti masakan yang dihidangkan oleh setiap restoran semasa acara.

Tambah Yang Berhormat, para hakim memberi penilaian kepada semua peserta hotel dan restoran yang menyertai Minggu Masakan Brunei dan pemenang akan diumumkan pada Majlis Anugerah Industri Pelancongan yang dijangka diadakan pada bulan April 2017.

Pada Minggu Masakan Brunei, Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan juga menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil-wakil agensi yang mengambil bahagian dalam majlis pelancaran tersebut.

Agensi yang mengambil bahagian untuk Minggu Masakan Brunei termasuk D'Anggerek Serviced Apartment; Charcoal BBQ and Grill Restaurant; MyTown Restaurant; Orchid Garden Hotel; Keoja Hotel; Radisson Hotel; Royal Brunei Airlines; Royal Brunei Catering - Seasons Restaurant; Tarindak d'Seni; Tarindak d'Polo; The Brunei Hotel; The Coffee Bean and Tea Leaf; The Empire Hotel and Country Club; The Rizqun International Hotel; URBN Kitchen dan V-Plaza Hotel.

Minggu Masakan Brunei dianjurkan bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-33 yang merupakan satu inisiatif KSSUP dan Lembaga Pelancongan Brunei Minggu Masakan Brunei di mana kementerian telah bekerjasama dengan beberapa hotel dan restoran di Brunei Darussalam termasuk Penerbangan Diraja Brunei, Brunei Press Sdn. Bhd. dan Persatuan Ejen Pelancongan.

Close