Manage PermissionsManage Permissions

Kumpulan Suara Anak Seni juara Pertandingan Koir



Berita dan Foto : Saerah Haji Abdul Ghani




 

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 3 Februari. – Kumpulan Suara Anak Seni dari Mukim Gadong 'A' menjuarai Pertandingan Koir Lagu-Lagu Patriotik Antara Mukim-Mukim Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Kali Ke-34 Tahun 2018.

 

Juara dengan membawakan lagu 'Brunei Bumi Bertuah' membawa pulang wang tunai BND1,500 dan sijil penyertaan, manakala tempat kedua disandang oleh Kumpulan Permata Permai dari Mukim Lumapas dengan lagu 'Bahagia Brunei Darussalam' membawa pulang hadiah wang tunai BND1,300 dan sijil penyertaan.

 

Sementara, tempat ketiga, Kumpulan Harmoni Perkasa dari Mukim Berakas 'B' dengan lagu 'Tanah Airku' membawa pulang hadiah wang tunai BND1,000 dan sijil penyertaan sementara tiga kumpulan koir yang lain menerima hadiah sagu hati BND500 serta sijil penyertaan.

 

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah pada majlis yang berlangsung di Dewan Auditorium, Jabatan Penerangan, di sini ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Awang Haji Abdul Rahman.

 

Juga hadir, Ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon selaku Penghulu Mukim Berakas 'B' Zon I Daerah Brunei Muara dan Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar.

 

Pegawai Penerangan, Dayang Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya dalam ucapan alu-aluannya antara lain menyatakan, pertandingan dibukakan kepada penduduk mukim dan kampung di seluruh negara dengan harapan ia akan dapat menjadi platform atau landasan dalam mencungkil atau mengasuh bakat seni.

 

Menurutnya, bakat-bakat yang sedia ada itu nanti, diharapkan akan mampu diketengahkan dalam pelbagai cabang seni nyanyian, lakonan, tarian dan pengacaraan.

 

Tujuan utama Jabatan Penerangan mengendalikan pertandingan itu ialah untuk menanamkan semangat patriotik dan meningkatkan semangat cinta kepada raja, bangsa dan negara di kalangan penduduk mukim dan kampung melalui penghayatan lagu-lagu patriotik yang dipertandingkan.

 

Selain itu kumpulan-kumpulan koir ini nanti juga boleh membuat persembahan dalam mana-mana acara kenegaraan, sama ada yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan mahupun Majlis Perundingan Mukim, Majlis Perundingan Kampung dan Jabatan / Kementerian Kerajaan dan lain-lain.

 

Pertandingan ini juga dilaratkan di ketiga-tiga daerah, iaitu pada 6 Februari 2018 bertempat di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong, Daerah Tutong, 8 Februari 2018 di Dewan Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Lumut, Daerah Belait dan 10 Februari 2018 di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar, Daerah Temburong.



Close