Manage PermissionsManage Permissions

Tingkatkan kesedaran, cegah, kurangkan kesan kanser



Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 4 Februari. - Hari ini merupakan Hari Kanser Sedunia dan Negara Brunei Darussalam bersama-sama dengan negara-negara lain di seluruh dunia, sekali lagi, akan terus meningkatkan kesedaran dan mengambil tindakan untuk mencegah dan mengurangkan kesan kanser.

 

Buat tahun ketiga,  tema Hari Kanser Sedunia 'Kami Boleh, Saya Boleh' (We Can, I Can) menunjukkan bahawa kita semua, tidak kira latar belakang, usia atau di mana kita hidup atau bekerja, boleh mengambil tindakan yang berbeza untuk mengurangkan risiko kanser.

 

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar dalam perutusannya sempena Hari Kanser Sedunia 2018 menjelaskan, ramai daripada kita telah terjejas secara peribadi atau mengetahui seseorang yang mempunyai kanser.

 

secara purata, kira-kira 600 orang di Negara Brunei Darussalam didiagnosis dengan kanser setiap tahun.

 

Tiga kanser yang paling biasa di kalangan lelaki adalah kanser usus, paru-paru dan prostat manakala kanser payudara, usus dan kanser serviks adalah yang paling biasa di kalangan wanita.

 

Pada tahun 2016 sahaja, jelas Yang Berhormat, sebanyak 353 kematian berkaitan dengannya dicatatkan yang menyumbang lebih 20 peratus daripada jumlah kematian di negara ini. Malangnya, purata penghidap kanser yang didiagnosis adalah 50.1 tahun untuk kanser payudara (wanita), 49.0 tahun untuk kanser serviks (wanita), 65.5 tahun untuk kanser paru-paru dan 60.1 tahun untuk kanser kolorektal.

 

Bagaimanapun tegas Yang Berhormat, 30 hingga 50 peratus kanser dapat dicegah.

 

Beberapa kanser biasa, termasuk kanser payudara, paru-paru dan usus besar adalah risiko yang lebih tinggi di kalangan orang yang berlebihan berat badan atau gemuk dan perokok.

 

Oleh itu, 'Awda dan Saya Boleh' mencegah kanser dengan mengelakkan faktor risiko dan mengambil langkah pencegahan seperti berhenti merokok dan mengelakkan pendedahan kepada asap daripada perokok kedua; mengekalkan berat badan yang sihat dari masa kanak-kanak dan sepanjang hayat; memastikan awda mengambil 2 - 3 bahagian buah dan 2 - 3 bahagian sayuran setiap hari; mengurangkan pengambilan makanan tinggi lemak dan aktif secara fizikal sekurang-kurangnya 30 minit, lima kali atau lebih dalam seminggu.

 

Di Brunei jelas Yang Berhormat, terdapat kemungkinan bahawa 1 dari 4 orang akan dipengaruhi oleh kanser sepanjang hayat mereka.

 

Kita boleh secara proaktif mengambil langkah-langkah untuk mencari tanda awal kanser tertentu melalui pemeriksaan yang berkesan.

 

Individu yang mempunyai sejarah kanser keluarga dan faktor risiko dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan berkala.

 

''Pengesanan awal dan rawatan yang mencukupi dapat meningkatkan peluang kanser dapat disembuhkan, dan dalam jangka masa panjang, ia dapat mengurangkan kos penjagaan kesihatan dengan mengurangkan beban rawatan yang mahal dan intensif apabila penyakit ditemui di peringkat akhir.

 

Kementerian Kesihatan, pada masa ini, menawarkan beberapa perkhidmatan pemeriksaan kanser termasuk ujian pap smear untuk kanser serviks, pemeriksaan payudara klinikal dan mamogram untuk kanser payudara, ujian untuk mengesan pendarahan di usus (FOB) dan kolonoskopi untuk kanser usus,'' tambah Menteri Kesihatan.

 

Selain daripada pemeriksaan, Kementerian Kesihatan tambahnya, juga melabur dalam pencegahan kanser seperti Human Papilloma Virus (HPV) dan vaksin Hepatitis 'B', manakala dari segi pengurusan kanser, Kementerian Kesihatan juga terus bekerjasama dengan Pusat Kanser Brunei (TBCC) terutama dengan perkhidmatan tambahan baharu mereka seperti radioterapi dan ubat nuklear yang dapat membantu meningkatkan pengurusan dan penjagaan pesakit kanser.

 

Sempena Hari Kanser Sedunia katanya, Pusat Pakar Pantai Jerudong melalui Pusat Pembedahan Plastik Maxillofacial, Plastik dan Rekonstruksik, akan menganjurkan Pemeriksaan Kanser Percuma untuk mulut dan leher dan kulit kepala dan leher pada bulan Februari, Mac dan April kepada semua orang bagi Daerah Muara Brunei, Belait, Tutong dan  Temburong yang akan diadakan di hospital masing-masing.

 

Walaupun terdapat pelbagai perkara yang boleh kita lakukan, faktor yang paling penting ujar Yang Berhormat, adalah bertanggungjawab terhadap kesihatan kita sendiri, kerana pilihan gaya hidup yang kita buat setiap hari amat bergantung kepada persekitaran fizikal dan sosiobudaya kita.

 

''Makanan yang dimasak dan tersedia untuk kita di rumah, kantin, restoran dan pasar raya menentukan jenis makanan yang kita makan setiap hari. Demikian juga, senaman 30 minit setiap hari hanya dapat dilakukan mengikut kemampuan untuk mengintegrasikannya ke dalam jadual harian serta akses kepada kemudahan kecergasan dan pusat rekreasi,'' tambah Yang Berhormat seterusnya.

 

Menurutnya, Kementerian Kesihatan juga telah bekerjasama dengan kementerian-kementerian lain sebagai pendekatan keseluruhan kerajaan dalam Pasukan Petugas Multisektoral untuk menangani masalah penyakit tidak berjangkit di negara ini.

 

Empat bidang utama yang menjadi perhatian untuk dibincangkan dalam pasukan petugas berkenaan ialah meningkatkan persekitaran makanan Brunei, memberikan setiap kanak-kanak permulaan yang terbaik dalam kehidupan, menyokong masyarakat aktif di Brunei dan mengurangkan penggunaan tembakau.

 

Salah satu tindakan yang diambil untuk meningkatkan persekitaran makanan Brunei ialah dengan bekerja dengan sektor swasta. Inisiatif tersebut bertujuan untuk menyediakan pilihan makanan yang lebih sihat di pasaran tempatan dan menjadikannya lebih mudah untuk orang ramai.

 

Dalam hal ini, inisiatif oleh masyarakat awam atau kumpulan komuniti, persatuan dan NGO untuk meningkatkan kesedaran dan menjalankan aktiviti gaya hidup sihat ke arah mencegah kanser dan penyakit kronik lain adalah sangat dialu-alukan dan akan terus berharap bagi kerjasama sedemikian.

 

''Kementerian Kesihatan tidak akan dapat memerangi penyakit ini bersendirian, hanya melalui usaha kerjasama dan sinergi atau pendekatan seluruh negara seperti yang dinyatakan di atas bahawa 'Kita Boleh' bersama-sama mencapai sasaran kesihatan dan Wawasan Negara 2035 bagi kehidupan berkualiti tinggi  rakyat kita, yang juga selaras dengan visi Kementerian Kesihatan - 'Bersama Ke Arah Warga Sihat' dan keutamaannya untuk menanam 'Kesihatan adalah tanggungjawab semua'.



Close