Manage PermissionsManage Permissions

Berangkat rasmikan Simposium Antarabangsa Pertama Ethnobotani



Oleh : Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Haji Ariffin Mohamad Noor, Dk. Nur Hafilah Pg. Osman





BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 3 Februari. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam  berkenan berangkat dan menyempurnakan Majlis Perasmian Simposium Antarabangsa Pertama 'Ethnobotani Dalam Al-Quran dan Hadith - Sebuah Penerokaan'.


Majlis berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD).


Simposium dianjurkan bersama Fakulti Sains, Institut Biodiversiti dan Penyelidikan Alam Sekitar (IBER), dan Pusat Pengajian Islam Sultan Omar 'Ali Saifuddien (SOASCIS), UBD.


Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang juga Canselor UBD dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Hamzah bin Sulaiman yang juga selaku Pengerusi Majlis UBD; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dan Naib Canselor UBD, Datin Dr. Dayang Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz.


Majlis bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan.


Naib Canselor UBD dalam sembah alu-aluannya antara lain menyembahkan mengenai kekayaan Negara Brunei Darussalam dengan sumber kepelbagaian bio hutan tropika dan UBD telah mengenal pasti penyelidikan herba dan perubatan sebagai tumpuan utama untuk penyelidikan dan perkembangan.


Datin Dr. Dayang Hajah Anita Binurul Zahrina berharap simposium berkenaan akan menjadi platform awal bagi satu kumpulan 'stakeholder' yang lebih besar yang berminat untuk menerokai penggunaan tanam-tanaman dalam Al-Quran dan Al-Hadis yang juga akan mengongsikan penemuan-penemuan baharu dari pelbagai perspektif Islam dan saintifik kepada umum.


Kebawah DYMM seterusnya berkenan mengurniakan titah perasmian.


Baginda juga berkenan menerima pesambah berupa buku mengenai Pusat Kajian Botani UBD Bagi Tumbuh-Tumbuhan dan Perubatan.


Majlis diteruskan dengan Pembentangan Kertas Perdana daripada Mufti Kerajaan yang sedikit sebanyak menyentuh mengenai  khasiat makanan, tumbuhan hijau atau ulam-ulaman.


Kebawah DYMM kemudian berkenan berangkat melawat Pusat Penyelidikan Botani UBD.


Baginda juga berkenan menandatangani plak dan menyempurnakan perasmian pusat tersebut.


Pusat tersebut terletak di sebelah Hostel Perempuan UBD.


Selain daripada mengumpul, membiak dan memelihara pelbagai flora dan spesis-spesis tanaman, penubuhan Pusat Penyelidikan Botani itu juga menyumbang sebagai penyelidikan dan pemerdagangan.


Pusat tersebut telah mengenal pasti sekitar 200 tumbuhan dan 100 spesis pokok yang tumbuh di kawasan yang dianggarkan seluas lima ekar hutan gambut tropika yang dikenali sebagai 'Keranggas'.


Dari Pusat Penyelidikan Botani UBD, Kebawah DYMM berangkat melawat Simpur Cafe BSB milik UBD yang beroperasi di premis kampus UBD.


Kafe tersebut menghidangkan gaya masakan yang berkaitan dengan resipi-resipi herba yang tumbuh di Pusat Penyelidikan Botani UBD.


Kafe berkenaan juga menyumbang sebagai tempat latihan bagi pelajar-pelajar hospitaliti IBTE, sama seperti Restoran Simpur di Da-Nang, Viet Nam, yang dibuka rasmi oleh Kebawah DYMM pada November tahun lalu.


Simposium seterusnya disambung pada sebelah petang dengan sesi plenari di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah (PAPRSB IHS).


Objektif utama simposium adalah untuk menemukan para botani dari seluruh dunia bagi mengongsikan dan bertukar-tukar idea serta menyampaikan penyelidikan-penyelidikan mengenai topik-topik isu botani yang relevan dengan Al-Quran dan Hadis.



Close