Manage PermissionsManage Permissions

Festival pamer keunikan seni bela diri



Berita dan Foto : Hernie Suliana binti Haji Othman

 



 

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 31 Disember. - Pelbagai demonstrasi daripada persatuan-persatuan seni bela diri di negara ini menarik tumpuan orang ramai yang hadir pada Festival Seni Bela Diri yang berlangsung di kawasan letak kereta berdepanan Muzium Alat Kebesaran Diraja, di ibu negara.

 

Lebih 200 orang ahli persatuan seni bela diri menyertai festival tersebut antaranya Hapkido Brunei Darussalam; Persaudaraan Shorinji Kempo Brunei Darussalam; IP Man Wing Chun; Persatuan Taekwondo Brunei Darussalam; Persekutuan Karate Do Brunei Darussalam; Akademi ZerOnEight MMA (Aikido); Akademi ZerOnEight MMA (Kick-Boxing); Pasukan Kebangsaan Wushu Brunei Darussalam; Persatuan Tang Soo Do Mook Duk Kwan Brunei Darussalam dan Perguruan Seni Silat Pencak Silat Gerak 41.

 

Perasmian Festival SBD disempurnakan oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Haji Ali bin Matyassin.

 

Festival dimulakan dengan Persembahan Buka Gelanggang oleh Mahaguru Perguruan Seni Silat Pencak Silat Gerak 41, Awang Haji Ibrahim bin Haji Yussof.

 

Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian hadiah "orang kuat Brunei" dan penyampaian sijil penghargaan kepada persatuan-persatuan dan kelab-kelab yang disampaikan oleh tetamu kehormat dan diakhiri dengan persembahan Tutup Gelanggang.

 

Festival Seni Bela Diri (SBD) kelolaan Andika Samudera Event Management tersebut merupakan salah satu acara Festival Disember Brunei bagi mempamerkan budaya kemelayuan dan keunikan seni bela diri di negara ini, terutama dalam seni pencak silat yang juga dihasratkan untuk menarik pelancong dan orang ramai sebagai 'sports tourism'.



Close