Manage PermissionsManage Permissions

Capai kedamaian, ketenteraman jiwa dengan Zikrullah



Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

 



 

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 31 Disember. - Menyebut nama Allah Subhanahu Wata'ala, mengerjakan Solat Fardu dan Sunat, membaca Al-Quran Al-Karim, berdoa untuk memohon hasanah (kebajikan) di dunia dan akhirat merupakan Zikrullah.

 

Menjauhkan diri dari melakukan maksiat dan dosa, bekerja untuk menyara keluarga, menuntut Ilmu Fardu Ain dan Fardu Kifayah juga merupakan Zikrullah.

 

Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Fansuri Sharimi @ Mansur bin Mohamad Ali mengongsikan tazkirah bertajuk 'Kehebatan Zikrullah' pada Program Masjidku Makmur, Negara Berkat di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, di sini.

 

Jelasnya, Zikrullah memiliki kehebatan dan kelebihan tersendiri, yang mana manusia hanya mampu mengetahui sedikit sahaja. Zikrullah tersebut jika diamalkan bersungguh-sungguh oleh seseorang, ia akan mencapai kedamaian dan ketenteraman jiwa.

 

Hadir bersama jemaah masjid ialah Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja'ah dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang.

 

Program melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), PDI dan Bahagian Kemajuan Syiar Islam dengan kerjasama Masjid Omar 'Ali Saifuddien merupakan satu program mingguan dan ajakan bagi mengalu-alukan jemaah meningkatkan kehadiran untuk memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah pada awal waktu di masjid.

 

Masjid adalah ibarat Rumah Allah dan sesungguhnya menghadirkan diri beribadah ke masjid serta mendirikan sembahyang secara berjemaah itu mempunyai kelebihan darjat berbanding sembahyang secara perseorangan.

 

Ia turut memberikan peluang kepada para pengunjung bersempena acara Bandarku Ceria, memulakan langkah dan keceriaan hari mereka dengan meraih keberkatan melalui partisipasi menunaikan tuntutan sembahyang fardu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang serta kegiatan keagamaan yang diaturkan.

 

Program tersebut diharap akan dapat menghidupkan amalan sunnah Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping dapat menimbulkan rasa persamaan di antara umat Islam dalam melaksanakan sembahyang berjemaah dan amal ibadat bersama-sama.

 

Makmurnya masjid-masjid di negara ini adalah antara landasan kita bagi menggandakan amal kebajikan dan meraih keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala bagi diri kita, keluarga juga negara.



Close