Manage PermissionsManage Permissions

Jadikan tokoh belia Islam sebagai role model



Berita dan Foto : Hernie Suliana Haji Othman




 

SENGKURONG, Ahad, 31 Disember. - Program Kem Ibadah bagi Daerah Brunei dan Muara yang disertai oleh 85 orang belia dan beliawanis masjid diakhiri dengan Majlis Penutup yang diadakan di Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong.

 

Program Kem Ibadah atau Muslim Youth Camp merupakan program pertama kali dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Pejabat Hal Ehwal Masjid setiap daerah dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Brunei.

 

Penyampaian sijil-sijil penyertaan kepada para peserta disempurnakan oleh Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang.

 

Awang Haji Mohd. Serudin dalam ucapannya menekankan bahawa belia merupakan suatu tahap kecergasan tertinggi dalam kitaran kehidupan manusia yang mampu memberikan sumbangan yang signifikan terhadap masyarakat sekelilingnya, malah dalam sejarah juga membuktikan bahawa golongan pemuda merupakan golongan yang paling berperanan dalam perkembangan Islam.

 

Katanya lagi, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri ketika menerima wahyu baru berusia 40 tahun, Sayyidina Abu Bakar berusia 37 tahun, Sayyidina 'Umar masih berusia 27 tahun, manakala Sayyidina 'Ali baru berusia 9 tahun, begitu jugalah sahabat-sahabat baginda yang lain dan banyak lagi tokoh Islam yang hebat di dalam berbagai bidang di zaman Rasulullah yang terdiri dari kalangan belia dan remaja.

 

"Saya berharap para belia yang mengikuti kem ibadah ini serta para belia yang berada di luar sana akan dapat menjadikan tokoh-tokoh belia dan remaja Islam yang terkenal dan hebat yang saya sebutkan tadi sebagai 'role model' yang terbaik di dalam meneruskan kehidupan para belia dan beliawanis kita yang masih panjang dan penuh dengan berbagai godaan, cabaran dan dugaan," tambahnya.

 

Kem tersebut telah berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Disember 2017 dan merupakan salah satu program dalam Brunei December Festival.

 

Turut hadir ialah Pengarah Kemajuan Pelancongan, Awang Haji Mohammad Zamree bin Hj Junaidi; Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali dan pegawai-pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Jabatan Kemajuan Pelancongan.



Close