Manage PermissionsManage Permissions

Malam Penghargaan sempena Festival Disember Brunei



Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid \ Foto : Azmah Haji Ahad

 

 



JERUDONG, Ahad, 31 Disember. - Lembaga Pelancongan Brunei telah melancarkan Pakej Bandar Seri Begawan dan Kampong Ayer dan juga mempromosikan Pakej Destinasi Tutong, Pakej Destinasi Belait dan melancarkan Pakej Menyelam Brunei.

 

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong pada Majlis Malam Penghargaan sempena Festival Disember Brunei 2017 yang berlangsung di The Empire Hotel & Country Club, Jerudong.

 

"Saya berbangga bahawa kita telah berjaya menganjurkan kalender yang penuh dengan peristiwa menarik dari setiap genre termasuk Minggu Gastronomi Brunei, aktiviti Kesenian dan bulan ini, kami telah memulakan Brunei December Festival, yang menawarkan pelbagai acara seperti Festival Makanan Antarabangsa, Festival Kesenian dan Persembahan, Islam dan Kebudayaan dan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan," jelas Yang Berhormat.

 

Menurut Yang Berhormat, ada beberapa acara kemuncak dalam Festival Disember Brunei sepanjang empat minggu yang lalu termasuk '2nd Jewel Night Run' anjuran Organisasi CARE yang disertai lebih daripada 500 peserta termasuk dari Norway, Columbia dan Maghribi.

 

Kira-kira 50 peserta antarabangsa jelas Yang Berhormat, menyertai 'Brunei Off Road Challenge' anjuran Persatuan Kereta Tahan Lasak Brunei dan bagi acara 'Mountain Trail Bike Temburong' disertai seramai 43 peserta antarabangsa.

 

Festival Disember Brunei yang diungkayahkan oleh Lembaga Pelancongan Brunei dengan kerjasama sektor swasta serta pihak berkepentingan yang berkaitan, dengan matlamat meningkatkan jumlah ketibaan pelancong ke negara ini dengan membangunkan acara kalendar tahunan untuk menarik pelawat tempatan dan antarabangsa.

 

Festival tersebut turut melibatkan lebih 500 sukarelawan dari empat daerah untuk turut serta dalam pengurusan operasi, logistik dan aktiviti.



Close