Manage PermissionsManage Permissions

Program Sua Muka barigakan maklumat semasa



Berita dan  Foto : Haji Ariffin Mohamad Noor / Morshidi






BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 8 November. - Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hubungan Masyarakat secara berterusan mendekati dan membarigakan maklumat semasa kepada rakyat dan penduduk di segenap pelusuk negara ini melalui institusi Penghulu dan Ketua Kampung melalui siri Program Sua Muka atau turut dikenali dengan 'personal contact'.

 

Pada program berkenaan, para pegawai dan kakitangan dari Jabatan Penerangan berpeluang untuk mendengarkan permasalahan dan cadangan-cadangan daripada rakyat dan penduduk di kawasan berkenaan yang seterusnya, akan disalurkan kepada agensi-agensi dalam kerajaan yang berkaitan, bagi penilaian dan tindakan selanjutnya.

 

Di samping itu peluang bersua muka dalam suasana yang muhibah ini, dapat dijadikan wadah untuk menyampaikan maklumat-maklumat terkini dan usaha-usaha kerajaan kepada pemimpin akar umbi untuk dikongsikan bersama penduduk kampung.

 

Terdahulu, seramai lapan orang pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan diketuai oleh Pemangku Pegawai Penerangan Kanan, Pemangku Ketua Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Dayang Hajah Rabi'atul Adawiyah binti Haji A.Ahmad telah mengunjungi kediaman Pemangku Penghulu Mukim Saba, Ketua Kampung Saba Darat 'B', Pemangku Ketua Kampung Pakilong Muara / Kampung Setia Pahlawan Lama dan Pemangku Ketua Kampung Saba Tengah / Kampung Saba Ujong, Yang Mulia Awang Haji Mayalin bin Haji Saat.

 

Semasa berlangsungnya program ini, Pemangku Penghulu Mukim Saba turut mengusulkan beberapa pandangan, antaranya isu-isu berkait rapat dengan hal ehwal prasarana, kemudahan awam dan keselamatan penduduk Mukim Saba.

 

Dalam masa yang sama, pihak jabatan turut menyentuh mengenai penggunaan bendera negara, kain rentang (banner) dan bahan-bahan yang mempunyai kepentingan nasional serta bahan-bahan bacaan mengenai Wawasan Brunei 2035 dan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Penerangan sendiri.

 

Beliau turut menyentuh mengenai Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) yang merupakan salah satu landasan yang boleh disertai oleh penduduk kampung secara berkumpulan.

 

Program PMB tersebut, dihasratkan dapat menyampaikan maklumat rasmi mengenai dasar dan maksud kerajaan, agar semua anggota masyarakat memahami, menyokong dan menghayatinya secara berkesan melalui penyampaian taklimat, sesi dialog dan siri lawatan.

 

Bagi mendedahkan anak buah kampung kepada maklumat semasa dan dalam membantu penduduk kampung untuk mengetahui, memahami dan menghayati maklumat-maklumat penting lebih terperinci seperti Wawasan Brunei 2035, Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013, keusahawanan, maklumat Program Masyarakat Maklumat juga turut dikongsikan termasuk aplikasi mudah alih Jabatan Penerangan iaitu 'InfoDeptBN' oleh wakil dari Unit Perhubungan Awam dan Media.

 

Dengan adanya Program Sua Muka sebegini, ia akan dapat memantapkan hubungan yang erat dan sedia terjalin antara kerajaan dengan rakyat.


Close