Manage PermissionsManage Permissions

Berkenan berangkat ke Majlis Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara Ke-8



Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Hernie Suliana Haji Othman, Dk. Nur Hafilah Pg. Osman





BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara Ke-8 dan seterusnya berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang, para peserta dan Ahli-Ahli Jemaah Hakim.


Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohd. Roselan bin Haji Mohd. Daud; Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud.


Berangkat sama paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.


Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam sembah alu-aluannya antara lain menyembahkan, penyertaan menyeluruh negara ASEAN dan negara jemputan tidak syak lagi adalah manifestasi keakraban negara ASEAN selaku satu komuniti yang saling dukung-mendukung kepada inisiatif yang membawa kebaikan kepada belia di rantau ini.


Menurut Yang Berhormat, begitu juga kemahuan belia-belia tampil menyertai Musabaqah Tilawatil Quran adalah petanda bahawa belia-belia golongan harapan negara masih mudah dilentur untuk menyahut kemahuan negara.


Tambah Yang Berhormat, partisipasi belia dalam bidang bacaan Al-Quran adalah signal bahawa belia mampu menghayati kehidupan sebagai seorang Muslim berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah dan ada harapan menjadi pendakwah dan menyebarkan kesedaran Islam dalam kalangan rakan sebaya untuk diamalkan dalam hidup ke arah mendapat kerahmatan dan keredaan Allah Subahanahu Wata'ala.


Pada majlis tersebut, Kebawah DYMM juga berkenan mengurniakan titah dan kemudian mengurniakan hadiah-hadiah dan cenderamata kepada para pemenang serta peserta dan Ahli-Ahli Jemaah Hakim.


Majlis diserikan lagi dengan persembahan bacaan Al-Quran daripada johan qari dan qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara Ke-8 tahun ini.


Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan.


Close