Manage PermissionsManage Permissions

Taman Riadah Jubli Emas Kuala Belait - Pesambah daripada penduduk



Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin




BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 23 Oktober. - Taman Riadah Jubli Emas Kuala Belait merupakan pesambah rakyat dan penduduk Daerah Belait melalui kolaborasi perpaduan hampir 50 syarikat dari agensi swasta sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.


Ketua Pegawai Eksekutif Serikandi Group of Companies, Shaikh Haji Khalid bin Shaikh Haji Ahmad yang juga selaku Pengerusi Eksekutif bagi Penyelenggaraan Jawatankuasa Taman Riadah Jubli Emas Kuala Belait berkata, syarikat-syarikat swasta di Daerah Belait bersama Persatuan Komuniti Cina di Daerah Belait dan Brunei Shell Petroleum Company Sdn. Bhd. telah melaksanakan Projek Penaiktarafan Taman Riadah X-25 sebagai Taman Riadah Kebawah Duli Tuan Patik sebagai tempat yang khas untuk mengadakan aktiviti riadah dan sukan di kawasan Kuala Belait.


Taman berkeluasan 14 ekar itu jelasnya,  sebagai sumbangan ikhlas dalam menzahirkan rasa kesyukuran dan penghargaan serta menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena Sambutan Jubli Emas Baginda Menaiki Tahkta atas kemajuan, kemakmuran dan keharmonian negara yang dirasai sehingga kini. 


Dalam temu bual bersama Pelita Brunei pada Majlis Junjung Kasih dan Kesyukuran bersama rakyat dan penduduk, Shaikh Haji Khalid seterusnya menerangkan bahawa tapak tanah X-25 merupakan tanah di bawah gazet Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, sebahagiannya daripadanya masih di bawah tanah kerajaan (stateland) dan sebahagian lagi di bawah tanah konsesi Syarikat Brunei Shell Petroleum Sdn. Bhd. dan ketiga-ketiga agensi berkenaan telah menyokong dan seterusnya bersetuju agar kawasan itu dinaik taraf dan dimajukan.


Katanya, fasa pertama projek taman yang sudah siap dibina dengan kos perbelanjaan lebih BND300 ribu itu terletak di tapak tanah X-25, Jalan Maulana, Kuala Belait yang juga merupakan kawasan yang menjadi tumpuan dan popular bagi beriadah, bersukan dan bersenam oleh masyarakat setempat di kawasan Kuala Belait. Sementara fasa kedua projek akan dijalankan sedikit masa lagi termasuk pembinaan tugu peringatan, gerbang, tempat solat, bilik air serta kemudahan lain.


Taman yang dibina itu mencerminkan perpaduan dan semangat setia kawan yang tinggi, di samping komitmen dan dedikasi yang sepenuhnya dalam kalangan para peserta yang terlibat. Selain memenuhi hasrat Wawasan Negara, ia juga menjadi satu mercu tanda yang signifikan serta lambang kejayaan 'Public Private Partnership' yang dapat menyumbang ke arah pembangunan dan kemajuan negara khususnya di Daerah Belait.


Close