Manage PermissionsManage Permissions

Berkenan menerima pengurniaan Ijazah Kehormat Kedoktoran



Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Hernie Suliana Haji Othman, Mohd. Sahrizal Haji Said



BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 30 September. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB) berkenan menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran dalam Bidang Kejuruteraan (Honorary Doctorate in Engineering).

Pengurniaan Ijazah Kehormat Kedoktoran ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia disembahkan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman pada Majlis Konvokesyen UTB Kelima Tahun 2017 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Dalam ‘citation’ yang dibacakan oleh Naib Canselor UTB, Profesor Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman, dengan berkat kepimpinan bijaksana Kebawah DYMM dalam menerajui Kerajaan Negara Brunei Darussalam, rakyat dapat menyaksikan dan menikmati perkembangan pesat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Tujuan murni baginda adalah untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat agar mereka berada dalam keselesaan, aman dan makmur,” ujar beliau

Salah satu sumbangan Kebawah DYMM dalam bidang STEM, jelasnya, adalah galakan baginda terhadap pelbagai agensi kerajaan, institusi berkaitan dan industri untuk meneruskan secara agresif aktiviti penyelidikan dan perkembangan dengan cara membekalkan infrastruktur dan fasilitas yang berkualiti tinggi, dana penyelidikan melalui Majlis Penyelidikan Brunei dan sumber manusia untuk memastikan kemajuan pesat sains dan teknologi.

Menurutnya, baginda telah menekankan kepentingan pendidikan STEM di mana ia memainkan peranan penting dalam pertumbuhan yang mampan dan kestabilan ekonomi negara. 

Beliau juga menegaskan mengenai sumbangan Kebawah DYMM kepada prasarana fizikal dan kemudahan asas bagi keselesaan rakyat dan penduduk negara, antaranya dengan pembinaan jambatan-jambatan penghubung dari Jalan Residency ke Kampung Sungai Kebun dan dari Bandar Seri Begawan (BSB) ke Temburong.

Selain itu, Profesor Dr. Hajah Zohrah berkata, baginda juga menyumbang kepada pembangunan imfrastruktur sistem maklumat dan komunikasi, termasuk melancarkan satu sistem kabel dasar laut antarabangsa bagi menyediakan komunikasi alternatif antarabangsa bagi memenuhi permintaan perkhidmatan internet terutama pengaliran video dan multimedia yang semakin meningkat.

Menurut beliau, kerajaan juga memperkenankan pelaksanaan projek Fibre-To-The-Home bagi menyediakan infrastruktur jalur lebar yang menyeluruh bagi menampung trafik data yang kian pesat.

“Ini tidak syak lagi akan membawa kepada kemajuan internet yang lebih berkualiti yang mampu dimiliki oleh orang ramai dan seterusnya akan lebih meningkatkan daya saing negara dan dapat dijadikan sebagai tarikan dan meningkatkan keyakinan para pelabur kepada Negara Brunei Darussalam,” katanya.

Di samping itu, baginda juga memberikan sumbangan terhadap penggunaan teknologi tinggi dalam Industri Minyak dan Gas serta penghasilan tenaga alternatif.

Beliau berkata, sebuah Loji Penjanaan Kuasa telah dibina dan secara rasminya diserahkan kepada Kerajaan Brunei pada tahun 2010 bagi menjimatkan pengeluaran minyak dan gas agar kekal kepada peringkat yang lebih optimum selaras dengan keperluan negara.

Jelasnya, baginda juga telah menegaskan pembangunan dua tapak perindustrian iaitu Sungai Liang Industrial Park (SPARK) di mana hasilnya adalah penubuhan kilang methanol pertama di negara ini dan Pulau Muara Besar yang dihasrat akan membangunkan perkhidmatan sokongan minyak dan aktiviti hiliran seperti penapisan petrokimia,” jelas beliau.

Beliau menambah, dasar baginda yang menyokong sepenuhnya akan pembangunan dan perkembangan negara agar rakyat baginda hidup dalam keselesaan, aman dan makmur telah mendapat pengiktirafan seluruh dunia.

“Baginda telah dianugerahkan Ijazah Kehormat daripada bebeberapa buah universiti tempatan dan luar negara termasuk Universiti Brunei Darussalam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, King’s College of London, National University of Singapore, University of Oxford, Queensland University, Chulalongkorn University, University of Indonesia, Universiti Malaya, Beijing Foreign Studies University dan University Sains Malaysia,” katanya.

Close