Manage PermissionsManage Permissions

YTM berangkat terima pingat gangsa







Oleh : Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Azmah Haji Ahad, Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin


PUTRAJAYA, Selasa, 29 Ogos. - Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah berkenan berangkat untuk menerima pingat gangsa yang dimenangi skuad polo negara pada Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017.

Terdahulu, paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menyaksikan perlawanan akhir acara Polo di antara pasukan negara tuan rumah, Malaysia dan Thailand yang berlangsung di Taman Equestrian Putrajaya.

Pada perlawanan tersebut, pasukan tuan rumah berjaya memenangi perlawanan dengan kiraan 9 - 8 dalam empat chaka sekali gus meraih pingat emas, manakala pasukan Thailand membawa pulang pingat perak.

Juga berangkat menyaksikan perlawanan ialah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan Negeri Selangor Darul Ehsan dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor serta Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien selaku Pengurus Pasukan Polo negara Brunei Darussalam.

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah kemudian berkenan menerima pingat gangsa yang dimenangi oleh skuad polo negara selepas mencatat kemenangan ke atas pasukan Singapura dengan keputusan 10 - 8 yang berlangsung kelmarin.

Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Di-Gadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dipilih menjadi pemain terbaik (MVP) pada kejohanan tersebut, manakala kuda milik Nattapong Pratumlee dari pasukan Thailand dipilih menjadi kuda terbaik di sepanjang perlawanan.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Sultan Negeri Selangor Darul Ehsan berkenan mengurniakan penyampaian pingat.
Close